Identiti mayat lelaki terikat dalam stor sedang dikenal pasti

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Polis sedang mengenal pasti identiti mayat lelaki yang ditemukan dalam keadaan kaki serta tangan terikat, di tingkat atas sebuah rumah yang dalam proses ubah suai, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, setakat ini, ujian asid deoksiribonukleik (DNA) telah dilakukan oleh Jabatan Kimia, namun keputusan hasil sampel yang dihantar masih belum diketahui.

Beliau berkata, keadaan mayat yang agak teruk dan dipercayai telah meninggal dunia hampir tiga hari itu sedikit sebanyak menyukarkan proses untuk mengenal pasti identiti mangsa.

"Kes ini masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita, di sini pada Isnin.

Pada Ahad media melaporkan, bau busuk yang disangkakan bangkai binatang dari sebuah rumah dalam proses ubah suai di Taman Kota Kubang Labu, Bandar Baharu Pasir Pekan, di sini, membawa kepada penemuaan mayat seorang lelaki.

Mangsa tanpa identiti yang berusia dalam lingkungan 40-an, ditemukan dalam keadaan kedua kaki dan tangan terikat serta ada kesan darah di lantai, selain dihurung lalat. - Bernama