FAM hukum Selangor FC bermain dalam stadium kosong, denda RM100,000

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) telah menghukum Selangor FC susulan kekecohan membabitkan penonton yang berlaku ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 29 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, Selangor FC berdepan empat pertuduhan melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan kelima.
Menurutnya, antara kesalahan yang dilakukan oleh penyokong Selangor iaitu membakar mercun dan membalingnya ke arah penyokong Negeri Sembilan FC, merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC.
"Selain itu, pada perlawanan tersebut, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC telah membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC.
"Pada perlawanan tersebut juga penyokong Selangor FC telah melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.
"Terakhir Selangor FC telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, akibat daripada pelanggaran-pelanggaran tersebut maka Selangor telah dikenakan hukuman bermain tanpa penonton dan denda.
"Beraksi di stadium kosong untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA, iaitu perlawanan Separuh Akhir 2 Piala FA 2025-2026 menentng Sabah FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 30 November.
"Selain itu, perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya.
"Didenda sebanyak RM100,000 akibat daripada kesalahan berulang (Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM).
"Selangor FC juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini boleh dirayu," katanya.
Ringkasan AI
- PERSATUAN Bolasepak Malaysia menghukum Selangor FC atas kekecohan yang berlaku ketika perlawanan suku akhir kedua Piala FA
- Selangor FC berdepan empat pertuduhan termasuk membakar mercun, merosak dan melontarkan bangku, dan membaling botol
- Seorang VVIP dari Selangor FC juga terlibat dengan membaling bekas minuman ke arah keluarga pemain Negeri Sembilan FC
- Selangor FC dihukum bermain tanpa penonton untuk dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri dan didenda RM100,000
- Keputusan hukuman ini boleh dirayu dan Selangor FC diberi amaran keras untuk tidak mengulangi kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
