Insiden 'panas' di MBPJ, Selangor FC berdepan hukuman

[DIKEMAS KINI] KONFEDERASI Bolasepak Asia (AFC) dijangka mengambil tindakan terhadap Selangor FC susulan kekecohan yang berlaku dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) menentang Persib Bandung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Khamis.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, badan induk itu memandang serius aspek keselamatan dalam setiap perlawanan di bawah kelolaan mereka.
“AFC mengambil serius bab keselamatan dalam perlawanan tetapi kami sedang menunggu laporan penuh terlebih dahulu untuk mengetahui apa yang berlaku.
“Selepas mendapat laporan penuh, ia akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Disiplin AFC untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam perlawanan itu, skuad Gergasi Merah tewas 2-3 kepada Persib Bandung sekali gus menyaksikan mereka tersingkir daripada saingan ACL 2 musim ini.
Keputusan tersebut nyata kurang disenangi oleh penyokong Selangor yang meluahkan kekecewaan dan melakukan kekecohan selepas perlawanan tamat apabila ada segelintir mereka meluru ke dalam padang.
Insiden tersebut tidak terhenti setakat itu apabila kekecohan bersambung di luar stadium dengan sekumpulan penyokong dilaporkan mengepung laluan keluar stadium itu dan meminta mahu bersemuka dengan pengurusan pasukan.
Ringkasan AI
- AFC dijangka mengambil tindakan terhadap Selangor FC susulan kekecohan dalam aksi ACL 2
- Setiausaha Agung AFC memandang serius aspek keselamatan dalam setiap perlawanan
- AFC menunggu laporan penuh sebelum mengambil sebarang tindakan
- Selangor FC tewas 2-3 kepada Persib Bandung dan tersingkir daripada saingan
- Kekecohan berlaku selepas perlawanan dengan penyokong meluahkan kekecewaan dan meluru ke dalam padang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
