Adik Shahelmey berdepan cabaran 11 penjuru di DUN Tanjung Keramat

KOTA KINABALU - Calon muka baharu Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Shah Alfie Yahya Ahmad Shah melihat saingan 11 penjuru yang bakal dihadapinya pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) sebagai satu pertandingan yang memperlihatkan sistem demokrasi yang subur di negeri ini.
Namun dalam masa yang sama, beliau yakin dengan kekuatan jentera dan sokongan penyokong GRS di peringkat akar umbi untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat yang sebelum ini disandang abangnya, Datuk Ir Shahelmey Yahya.
“Ada 11 penjuru, saya melihat begitu meriah. Bagi saya itu tidak ada masalah tetapi yang penting ialah kekuatan membawa jentera dan penyokong untuk menyokong parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya kepada pemberita semasa proses penamaan calon di Dewan Sri Putatan di sini pada Sabtu.
Selain Shah Alfie, antara calon lain yang bakal ditentangnya ialah wakil dari Parti Warisan (Warisan), BN, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Perikatan Nasional (PN) Parti Impian Sabah (PIS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan bebas.
Shah Alfie merupakan calon baharu yang diketengahkan GRS selepas abangnya, Shahelmey tidak mempertahankan kerusi tersebut susulan kemungkinan berdepan tindakan daripada UMNO jika bertanding atas tiket gabungan itu.
Shahelmey, yang juga Ahli Parlimen Putatan mewakili Barisan Nasional (BN), sebelum ini digantung keahliannya dalam UMNO ekoran tindakannya menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Sementara itu, calon yang mewakili BN, Jeffery Nor Mohamed, menyifatkan kepelbagaian parti yang bertanding di kerusi tersebut sebagai satu pertembungan mesra antara keluarga dan rakan-rakan.
"Namun saya yakin bahawa kita dalam keadaan yang baik, rekod kita baik di Putatan dan telah bekerja lama.
"Jadi kita kembalikan kepada rakyat untuk memilih parti yang mesra dengan rakyat," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
