Harap kadar bayaran Jalan Genting munasabah, tak bebankan pengguna - Young Syefura

KUANTAN - Kadar bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands diharap munasabah dan tidak membebankan pengguna.
Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, kadar bayaran munasabah itu antara empat cadangan dikemukakan kepada Genting Malaysia yang mengumumkan bakal mengenakan kadar Caj Jalan Persendirian di laluan masuk ke kawasan Genting dari arah Lebuhraya Karak dan laluan masuk dari Batang Kali.
Menurutnya, turut disuarakan supaya mekanisme kutipan bayaran nanti juga perlu efisien dan tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas berganda.
"Saya juga minta pihak Genting memberikan pengecualian khas atau diskaun sekurang-kurangnya kepada penduduk, pekerja serta mereka yang mempunyai anak yang bersekolah di Genting Highlands.
"Pada masa sama, pihak syarikat perlu memastikan pantauan dan penyelenggaraan berterusan terhadap keadaan jalan dan cerun di sepanjang Jalan Genting secara berkala," katanya melalui kenyataan di Facebooknya pada Sabtu.
Young Syefura berkata, laluan Jalan Genting sepanjang 24 kilometer itu disahkan Kementerian Kerja Raya sebagai jalan persendirian dan bukan jalan Persekutuan.
Beliau berkata, sejak1960-an lagi, penyelenggaraan jalan, cerun serta kerja-kerja mitigasi bencana sepanjang laluan tersebut dibuat dan kosnya ditanggung pihak Genting Malaysia bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.
"Pembinaan struktur kutipan Caj Jalan Persendirian yang dibuat bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) kerana ia di atas tanah persendirian.
"Spesifikasi pembinaan dan Kebenaran Merancang (KM) telah pun mendapat kelulusan pihak Majlis Perbandaran Bentong," katanya.
Justeru katanya, hasil perbincangan dengan pihak Genting Malaysia, beliau memahami kewajaran kutipan Caj Jalan Persendirian itu.
"Saya berharap semua pihak mendapat penjelasan yang jelas demi keselamatan dan keselesaan pengunjung dan pengguna jalan berkenaan," ujarnya.
Genting Malaysia sebelum ini mengesahkan akan mengenakan bayaran untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Genting Malaysia menegaskan bayaran bagi menggunakan jalan persendirian itu adalah perlu memandangkan kos penyelenggaraan sepanjang 24 kilometer dan cerunnya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tersebut sejak 1960-an.
Ringkasan AI
- Kadar bayaran untuk kenderaan yang masuk ke Jalan Genting Highlands diharap tidak membebankan pengguna
- Kadar yang munasabah dan mekanisme kutipan yang efisien untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas adalah antara cadangan dikemukakan
- Penduduk, pekerja, dan mereka yang mempunyai anak bersekolah di Genting Highlands diminta diberi pengecualian khas atau diskaun
- Penyelenggaraan jalan dan cerun sepanjang Jalan Genting disahkan tanggungjawab Genting Malaysia sejak 1960-an untuk keselamatan dan keselesaan pengguna
- Struktur kutipan Caj Jalan Persendirian adalah di atas tanah persendirian dan telah mendapat kelulusan Majlis Perbandaran Bentong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

