U Mobile peroleh RM4.3 bilion pacu 5G

PENYEDIA rangkaian 5G terbaharu di Malaysia, U Mobile memeterai pembiayaan bersindiket bernilai RM4.3 bilion dengan CIMB Investment Bank Berhad yang bertindak sebagai penyelaras pinjaman tunggal dan pengatur utama mandat bersama.
Pada masa sama, CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad bertindak sebagai pembiaya.
Pembiayaan tersebut turut disertai Maybank Islamic Berhad, AmBank Islamic Berhad dan United Overseas Bank (Malaysia) Berhad (UOB Malaysia) yang masing-masing berperanan sebagai pengatur utama mandat bersama dan pembiaya.
Menurut U Mobile, pembiayaan bersindiket itu adalah antara pembiayaan ringgit terbesar yang pernah diperoleh oleh sebuah syarikat tidak tersenarai di Malaysia.
Dana tersebut akan digunakan bagi menampung perbelanjaan modal (CAPEX) dan modal kerja untuk pelaksanaan rangkaian 5G generasi baharu U Mobile yang menyasarkan 80 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA) menjelang separuh kedua 2026.
Pembiayaan itu juga dijangka mempercepat perluasan pengalaman ULTRA5G di seluruh negara sebagai pemangkin utama pembangunan ekonomi digital Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif U Mobile, Wong Heang Tuck berkata, pembiayaan bersindiket berkenaan mencerminkan keyakinan kukuh institusi kewangan terkemuka terhadap keupayaan syarikat melaksanakan pelan perniagaan 5G dan prospek pertumbuhan jangka panjang.
“Pelaksanaan rangkaian 5G kami bermula pada pertengahan 2025 dan kemudahan kewangan baharu ini akan mempercepat aspirasi peluasan rangkaian serta mengukuhkan komitmen kami dalam memacu ekonomi digital Malaysia,” ujarnya dalam kenyataan.
Wong berkata, U Mobile berada di hadapan sasaran peluasan rangkaian dan yakin mencapai 80 peratus CoPA menjelang separuh kedua tahun depan seperti dilaporkan.
Beliau menambah, rangkaian bertaraf perusahaan dengan kemampuan 5G-Advanced akan memberikan manfaat kepada sektor awam dan swasta, sekali gus menyediakan pengalaman rangkaian 5G paling meluas dan mendalam termasuk liputan dalam bangunan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, CIMB berbangga menjadi rakan utama dan pembiaya terbesar dalam komitmen pembiayaan itu.
“Kami komited memperkukuh kesalinghubungan di semua titik penting sebagai pemangkin agenda pendigitalan negara. Usaha ini seiring dengan matlamat kami untuk memajukan pelanggan dan masyarakat,” ujarnya.
Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Global Kumpulan Maybank, Datuk John Chong pula berkata, sebagai peneraju kewangan Islam global, Maybank berbangga menyediakan pembiayaan patuh syariah bagi membantu mempercepat pembangunan rangkaian 5G kedua negara.
"Ia sekali gus membolehkan industri seperti pembuatan berteknologi tinggi dan kesihatan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI)," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Perbankan Borong Kumpulan AmBank, Datuk Jamzidi Khalid berkata, penyertaan AmBank mencerminkan komitmen berterusan bank itu dalam menyokong sektor telekomunikasi dan aspirasi 5G negara,
Bagi Ketua Negara, Perbankan Borong UOB Malaysia, Andy Cheah pula, pembiayaan berkenaan akan mengukuhkan transformasi digital Malaysia serta membuka peluang inovasi baharu.
Perjanjian pembiayaan bersindiket dengan tempoh 10 tahun itu dimeterai di Mandarin Oriental dan ditandatangani oleh Wong Heang Tuck (U Mobile); Datuk Jamzidi Khalid (AmBank); Chu Kok Wei (CIMB); Datuk John Chong (Maybank) dan Andy Cheah (UOB Malaysia).
Ringkasan AI
- U Mobile memperoleh pembiayaan bersindiket RM4.3 bilion untuk rangkaian 5G terbaharu di Malaysia
- CIMB Investment Bank Berhad berperanan sebagai Penyelaras Pinjaman bersama Maybank Islamic Berhad, AmBank Islamic Berhad dan United Overseas Bank Malaysia sebagai pengatur utama mandat bersama
- Pembiayaan itu merupakan antara yang terbesar untuk syarikat tidak tersenarai di Malaysia
- Dana akan digunakan untuk pelaksanaan rangkaian 5G U Mobile dengan sasaran 80 peratus liputan kawasan berpenduduk menjelang separuh kedua 2026
- Pelaksanaan rangkaian 5G U Mobile dijangka mula pada pertengahan 2025, memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

