Lebih RM355,000 diperlukan untuk bawa pulang Hajah Asmah ke Malaysia

SHAH ALAM – Masih ada baki RM355,635.72 diperlukan untuk menjayakan misi membawa pulang jemaah Malaysia, Asmah Mansor, 71, yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Saudi German di Makkah akibat menghidap pneumonia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kos terbabit bagi melengkapkan sasaran sebanyak RM500,000 diperlukan bagi membawa pulang Asmah ke tanah air.
Beliau memaklumkan, setakat ini, jumlah sumbangan diterima adalah RM144,364.28 dan memerlukan baki sebanyak RM355,635.72 lagi untuk mencapai sasaran.
"Saya dengan rendah hati mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama bantu Hajah Asmah, kini sedang berjuang melawan penyakit pneumonia di Makkah dibawa pulang ke tanah air.
"Di saat ada keluarga gembira dengan kepulangan jemaah haji, keluarga Hajah Asmah masih lagi menanti kepulangan beliau," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Menurutnya, Asmah sempat menyempurnakan rukun Islam kelima, namun kini beliau terpisah dari keluarga dan terpaksa bergantung pada alat bantuan pernafasan (ventilator) di hospital Makkah.
Mohd Na’im berkata, kos membawa pulang jemaah yang kritikal dengan kelengkapan perubatan khas adalah sangat tinggi.
Beliau mengharapkan kesudian rakyat untuk menyumbang bagi menjayakan misi itu.
"Semoga segala keprihatinan, perhatian dan sumbangan ikhlas ini ALLAH SWT berkatinya dan membalasnya dengan sebesar-besar ganjaran, diberkati rezeki dan umur dengan keberkatan sedekah jariah ini," ujarnya lagi.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menyalurkannya ke Tabung Musa'adah Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia menerusi akaun CIMB Islamic di 86-0221818-6, serta meletakkan 'Hajjah Asmah Binti Mansor' sebagai rujukan.
Ringkasan AI
- Masih ada baki RM355,635.72 diperlukan untuk membawa pulang Asmah Mansor dari Makkah kerana pneumonia
- Sasaran sumbangan adalah RM500,000
- Jumlah sumbangan diterima setakat ini adalah RM144,364.28
- Asmah Mansor telah menyempurnakan rukun Islam kelima namun kini bergantung pada ventilator
- Masyarakat diminta menyumbang ke Tabung Musa'adah Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia menerusi akaun CIMB Islamic
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

