Veteran polis, tentera Selangor terima RM200 sempena Hari Pahlawan

Amirudin semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Bangunan DUN Selangor pada Jumaat.
Amirudin semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Bangunan DUN Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian baucar Jom Shopping Hari Pahlawan Negara bernilai RM200 kepada 8,317 veteran polis dan tentera tidak berpencen sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, baucar itu akan disampaikan pada 31 Julai tahun depan sempena sambutan Hari Pahlawan Negara dengan peruntukan keseluruhan RM1.7 juta.

"Inisiatif ini melambangkan komitmen kerajaan negeri untuk terus menghargai jasa komuniti veteran selain membantu meringankan beban kos sara hidup mereka," katanya dalam Pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Jumaat.

Pada masa sama, Amirudin berkata, program Jom Shopping yang dilaksanakan setiap kali sambutan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali turut diteruskan bagi keluarga kurang berkemampuan dengan pendapatan bawah RM3,000.

"Setiap keluarga layak menerima baucar RM200 untuk pembelian barangan keperluan di pasar raya terpilih.

"Pada tahun 2025, sebanyak RM16.48 juta diperuntukkan dan program ini telah memanfaatkan 60,150 penerima.

"Ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam membantu golongan berpendapatan rendah,” tambah beliau.

Menurutnya, bagi tahun 2026, kerajaan negeri menambah peruntukan menjadi RM18.48 juta iaitu peningkatan sebanyak RM2 juta.

"Kita menyasarkan bantuan kepada 92,400 penerima manfaat, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Selangor mendapat sokongan ketika berdepan tekanan ekonomi semasa," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Kerajaan Selangor umum baucar RM200 untuk 8,317 veteran polis dan tentera sebagai penghargaan
  • Baucar disampaikan sempena Hari Pahlawan Negara dengan peruntukan RM1.7 juta
  • Inisiatif bagi meringankan beban kos sara hidup veteran
  • Program Jom Shopping terus diberikan kepada keluarga kurang berkemampuan dengan pendapatan bawah RM3,000
  • Peruntukan program Jom Shopping dinaikkan menjadi RM18.48 juta pada tahun 2026 untuk membantu 92,400 penerima

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!