Elaun internship kerajaan Selangor dinaikkan kepada RM1,500 sebulan tahun depan

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor menetapkan semua peserta latihan amali (internship) di agensi kerajaan negeri, anak syarikat, pejabat Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan menerima elaun RM1,500 sebulan bermula tahun depan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu diambil selepas kerajaan negeri menilai kadar elaun amali di pasaran yang dianggap terlalu rendah sehingga ada graduan hanya menerima sekitar RM800 hingga RM900 sebulan.
Beliau berkata, kadar baharu itu diberikan melalui Program Selangor Programme for Aspiring, Ready, and Knowledgeable Talents (SPARK) dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.
"Pemberian kadar baru ini bukan sahaja meningkatkan kebolehpasaran graduan, tetapi memastikan mereka mendapat pengalaman kerja lebih bermakna sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar," katanya menerusi Pembentangan Belanjawan 2026 di Bangunan DUN Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri prihatin bagi menampung perbezaan elaun sedia ada supaya 500 graduan dan mahasiswa Selangor yang menjalani latihan amali mendapat imbuhan sewajarnya.
Amirudin berkata, golongan muda berdepan cabaran besar mendapatkan pengalaman relevan, justeru SPARK diperkenalkan bagi membuka lebih banyak ruang latihan berkualiti di organisasi kerajaan negeri serta syarikat berkaitan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan Belanjawan 2026 memberi tumpuan kepada pemerkasaan institusi pengajian tinggi di bawah kerajaan negeri termasuk Universiti Selangor (Unisel), Universiti Islam Selangor (UIS), STDC dan asrama Yayasan Selangor.
"Sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi kerja naik taraf dan penambahbaikan infrastruktur di institusi terbabit," jelas beliau.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor tetapkan elaun RM1,500 sebulan untuk peserta latihan amali di agensi kerajaan negeri dan anak syarikat mulai tahun depan
- Langkah ini diambil kerana elaun amali di pasaran dianggap terlalu rendah dengan hanya bayaran RM800 hingga RM900 sebulan
- Kadar baharu elaun diberikan melalui Program Selangor Programme for Aspiring, Ready and Knowledgeable Talents (SPARK) dengan peruntukan RM1.5 juta
- Pemberian elaun baru bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan mereka mendapat pengalaman kerja bermakna
- Kerajaan negeri juga berfokus pada pemerkasaan institusi pengajian tinggi dengan RM10 juta diperuntukkan untuk naik taraf infrastruktur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

