Belanjawan 2026 bukti kesungguhan Johor pacu kemajuan tanpa pinggir rakyat

Bastien (tengah) menghadiri Majlis Apresiasi SMK Dato' Bentara Dalam, Segamat.
Bastien (tengah) menghadiri Majlis Apresiasi SMK Dato' Bentara Dalam, Segamat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembentangan Belanjawan Johor 2026 oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi bukti kesungguhan kerajaan negeri memacu kemajuan Johor di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat, Datuk Bastien Onn berkata, belanjawan itu mencerminkan komitmen pentadbiran negeri memastikan pembangunan dilaksanakan secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana lapisan rakyat.

Katanya, segala perincian yang dibentangkan selari dengan aspirasi ‘Maju Johor’ yang menekankan pembangunan menyeluruh dan agihan manfaat ekonomi secara saksama.

"Belanjawan lebihan ini menjadi bukti kerja keras yang dibuat oleh Kerajaan Negeri. Jadi saya menyangkal mana-mana pihak yang menuduh bahawa rakyat tidak merasai manfaatnya," katanya dalam satu kenyataan selepas hadir Majlis Apresiasi SMK Dato' Bentara Dalam, di Segamat hari ini.

Terdahulu, blok pengimbang Perikatan Nasional (PN) Johor mempersoalkan sejauh mana Belanjawan Johor 2026 mampu memberi manfaat kepada rakyat, meskipun Kerajaan Negeri mengumumkan belanjawan surplus berjumlah RM2.55 bilion.

Pengerusi PN Johor, Datuk Sahruddin Jamal berkata, walaupun Johor mencatat pertumbuhan ekonomi tertinggi di Malaysia sebanyak 6.4 peratus, hakikatnya ramai rakyat negeri itu masih berdepan tekanan kos sara hidup dan tidak merasai limpahan hasil kekayaan negeri.

Mengulas mengenai perkara itu, Bastien berkata, pengumuman kerajaan semalam turut menyaksikan peningkatan jumlah penerima serta peluasan kelompok yang layak menerima Bantuan Kasih Johor, sekali gus mengukuhkan jaringan keselamatan sosial negeri.

Beliau menambah, usaha Kerajaan Negeri menggubal belanjawan lebihan yang memanfaatkan rakyat membuktikan Johor berada di landasan pembangunan yang kukuh dan inklusif.

"Saya menyaksikan bahawa Menteri Besar amat prihatin soal jaringan keselamatan sosial rakyat Johor.

Artikel Berkaitan:

"Biarlah kemajuan negeri ini bergerak seiring dengan keadaan dan pendapatan rakyatnya," katanya.

Pada Khamis, Belanjawan Johor 2026 berjumlah RM2.546 bilion dibentangkan, meningkat daripada RM1.999 bilion diperuntukkan pada 2025 dengan tumpuan kepada usaha menjamin kebajikan, kesejahteraan Bangsa Johor serta mengukuhkan kedudukan fiskal negeri.

Unjuran hasil negeri dianggarkan meningkat kepada RM2.55 bilion, sekali gus menjadikan Johor antara negeri dengan asas kewangan paling kukuh di Malaysia dan melangkaui unjuran awal Belanjawan Johor 2025.

Belanjawan Johor 2026 turut mencatat lebihan sebanyak RM4.45 juta susulan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan keberkesanan strategi ekonomi negeri.

 

 

Ringkasan AI

  • Belanjawan Johor 2026 dibentangkan oleh Menteri Besar Johor menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri memacu kemajuan
  • Belanjawan menunjukkan komitmen kepada pembangunan inklusif dan agihan manfaat ekonomi yang saksama
  • Belanjawan tersebut mencatatkan lebihan, membuktikan keberkesanan pengurusan fiskal
  • Penambahan jumlah penerima Bantuan Kasih Johor mengukuhkan jaringan keselamatan sosial
  • Belanjawan ini meningkat kepada RM2.546 bilion dari RM1.999 bilion tahun sebelumnya, menekankan kebajikan dan kedudukan fiskal negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!