PRN Sabah: SPR siap sedia sepenuhnya, 325 bakal calon sudah bayar deposit

KOTA KINABALU - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan proses penamaan calon pada Sabtu ini, setelah menjalankan raptai penuh bagi memastikan kelancaran proses tersebut.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, raptai yang dijalankan berjalan lancar dan segala persiapan logistik telah disediakan bagi menyokong kelancaran penamaan calon di 73 Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah 25 Parlimen.
"Saya sudah meninjau Pusat Penamaan Calon di Kudat, Tenom, Sipitang. Kita sudah bersedia semua kemudahan logistik, termasuk dari segi internet.
"Kita juga telah menghubungi semua pegawai pengurus yang sudah diberikan latihan sepenuhnya bagi memastikan semua proses berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pemberita semasa meninjau Pusat Penamaan Calon di Dewan Sri Putatan pada Jumaat.
Ramlan turut memaklumkan bahawa setakat ini, lebih daripada 3,400 borang telah dijual, dan seramai 325 bakal calon telah membayar deposit.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bakal calon agar hadir pada jam 9 pagi hingga 10 pagi untuk mendaftar kehadiran mereka.
"Proses untuk mengurus borang kita tiada limit, kita selesaikan sehingga semua borang dapat diproses.
"Namun, apa yang penting bakal calon datang dulu jam 9 hingga jam 10 pagi, kita daftar kehadiran mereka," katanya.
Ramlan berharap semua proses penamaan calon dapat berjalan dengan aman dan tenang, dengan kerjasama daripada semua pihak, termasuk pihak keselamatan.
"Semua pihak diharap dapat memberi kerjasama sebaik mungkin kepada pihak SPR dan keselamatan. Diharap semua dapat elakkan provokasi," katanya.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan proses penamaan calon Sabtu ini
- Raptai penuh telah dijalankan untuk memastikan kelancaran proses penamaan calon
- Semua kemudahan logistik telah disediakan termasuk dari segi internet
- Lebih daripada 3,400 borang telah dijual dan 325 bakal calon telah membayar deposit
- SPR mengharap kerjasama dari semua pihak agar proses penamaan calon dapat berjalan dengan aman dan tanpa provokasi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

