'Tiada penduduk Kampung Papan dibiarkan tanpa tempat berteduh' - Exco

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memberi jaminan tiada penduduk di Kampung Papan, Pandamaran dibiarkan tanpa tempat berteduh apabila penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa disediakan dengan kadar sewa berpatutan bagi mereka yang memerlukan.
Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, komitmen itu seiring usaha kerajaan negeri mencari penyelesaian menyeluruh, adil dan berperikemanusiaan terhadap kemelut peneroka bandar yang telah berlarutan lebih 25 tahun.
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari terus memperhalusi jalan penyelesaian terbaik dengan mengambil kira aspek kebajikan peneroka serta pembangunan masa depan kawasan tersebut.
"Bagi memastikan kebajikan peneroka terus terpelihara sepanjang proses penyelesaian, kerajaan negeri menyediakan penempatan sementara melalui Skim Smart Sewa.
"Tiada peneroka akan dibiarkan tanpa tempat tinggal. Skim Smart Sewa disediakan dengan kadar sewa berpatutan untuk mereka yang memerlukan, sementara projek penempatan kekal dimuktamadkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, kerajaan negeri menegaskan kerja-kerja perobohan hanya dibenarkan ke atas struktur kosong tanpa penghuni selaras pendekatan berhemah dan kemanusiaan.
"Kita yakin penyelesaian komprehensif bagi peneroka Jalan Papan kini berada pada landasan jelas.
"Komitmen kerajaan negeri adalah memastikan penyelesaian adil, terancang dan berperikemanusiaan sambil memastikan pembangunan kawasan itu selari dasar perumahan dan perancangan negeri," jelas beliau.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, situasi tegang berlaku ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan melibatkan beberapa rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran pada Rabu.
Sekumpulan anggota polis bersama Pasukan Light Strike Force (LSF) ditempatkan di lokasi bagi menjamin keselamatan dan menghalang penduduk daripada melakukan perkara yang tidak diingini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, seramai 14 individu dipercayai membabitkan ahli badan bukan kerajaan (NGO) ditahan berhubung kekecohan ketika kerja-kerja pengosongan dijalankan melibatkan beberapa rumah penduduk di Kampung Papan, Pandamaran di sini Rabu lalu.
Beliau berkata, setakat ini jumlah tangkapan terdiri daripada 11 lelaki dan tiga wanita itu direkodkan setakat Khamis.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor memberi jaminan tiada penduduk Kampung Papan dibiarkan tanpa tempat berteduh melalui Skim Smart Sewa
- Kerajaan negeri mencari penyelesaian menyeluruh dan berperikemanusiaan untuk kemelut peneroka bandar yang berlarutan lebih 25 tahun
- Kerajaan negeri menegaskan kerja-kerja perobohan hanya dibenarkan ke atas struktur kosong tanpa penghuni
- Skim Smart Sewa disediakan dengan kadar sewa berpatutan sementara projek penempatan kekal dimuktamadkan
- Situasi tegang berlaku ketika kerja-kerja pengosongan dengan kehadiran polis dan Pasukan Light Strike Force untuk menjaga keselamatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

