Diabetes: Malaysia tertinggi di ASEAN, MMA gesa tindakan drastik

Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 dunia dan tertinggi di Asia Tenggara bagi prevalens diabetes, dengan 21 peratus rakyat atau seorang daripada lima orang dewasa hidup dengan penyakit itu. Gambar hiasan
Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 dunia dan tertinggi di Asia Tenggara bagi prevalens diabetes, dengan 21 peratus rakyat atau seorang daripada lima orang dewasa hidup dengan penyakit itu. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa tindakan segera dan drastik diambil bagi membendung peningkatan kes diabetes di negara ini, sambil memberi amaran bahawa Malaysia kini berada pada tahap kritikal dengan prevalens penyakit tersebut semakin meningkat setiap tahun.

Menurut laporan The Star pada 13 November, Malaysia kini berada di kedudukan ke-13 dunia dan tertinggi di Asia Tenggara bagi prevalens diabetes, dengan 21 peratus rakyat atau seorang daripada lima orang dewasa hidup dengan penyakit itu.

Tinjauan Kebangsaan Morbiditi dan Kesihatan (NHMS) 2023 turut menunjukkan 15.6 peratus orang dewasa menghidap diabetes, manakala lebih separuh mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

Presiden MMA, Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkata, situasi tersebut amat membimbangkan dan perlu ditangani secara menyeluruh melibatkan kerajaan, industri makanan, institusi pendidikan serta masyarakat.

“Diabetes bukan lagi sekadar isu kesihatan. Ia adalah krisis nasional. Kita memerlukan tindakan berani dan bersepadu,” ujarnya dalam kenyataan pada Jumaat sempena Hari Diabetes Sedunia.

Beliau menegaskan diabetes yang tidak dikawal boleh membawa kepada komplikasi serius termasuk kegagalan buah pinggang, penyakit jantung, amputasi, buta dan strok.

Beliau memaklumkan, semua komplikasi tersebut memerlukan rawatan intensif dan menelan kos tinggi sepanjang hayat.

Laporan Kementerian Kesihatan dan WHO sebelum ini mendapati diabetes menyumbang RM4.38 bilion dalam kos penjagaan kesihatan langsung pada 2017.

MMA menjangkakan kos itu akan terus meningkat jika usaha pencegahan, saringan awal dan perubahan gaya hidup tidak diperkasakan dengan segera.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mampu membiarkan keadaan ini berterusan. Pencegahan jauh lebih menjimatkan kos berbanding rawatan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan setiap rakyat Malaysia perlu menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun bagi membolehkan pengesanan dan intervensi awal dilakukan.

Menurutnya, kelewatan diagnosis bukan sahaja memudaratkan pesakit tetapi turut meningkatkan beban terhadap sistem penjagaan kesihatan dan ekonomi negara.

MMA turut mengemukakan beberapa syor bagi memperkukuh usaha membendung diabetes termasuk menjadikan saringan kesihatan tahunan sebagai norma budaya bermula pada usia 18 tahun, memperluas pendidikan kesihatan awam di sekolah, tempat kerja serta media massa, selain memastikan mesej mengenai pemakanan sihat dan aktiviti fizikal disampaikan secara konsisten.

Persatuan itu juga menggesa kerajaan memperkukuh persekitaran makanan sihat melalui pengurangan berperingkat 20 hingga 30 peratus kandungan gula tambahan dalam makanan dan minuman terproses dalam tempoh tiga hingga lima tahun, pengembangan cukai gula, pelabelan pemakanan yang lebih jelas pada bungkusan hadapan serta galakan terhadap pilihan makanan berkhasiat dan mampu milik.

“Kita mesti segera mengurangkan gula dalam makanan dan minuman harian. Industri makanan dan minuman perlu menjadi sebahagian daripada penyelesaian, bukan sebahagian daripada masalah,” ujarnya.

MMA turut menggesa pendekatan bersepadu melibatkan kementerian, pihak berkuasa tempatan, profesional kesihatan, sekolah dan kumpulan komuniti.

Persatuan juga menyokong pembentukan pasukan petugas antara kementerian atau kerjasama strategik antara agensi kesihatan awam dan pertubuhan bukan kerajaan bagi memperkukuh penyelarasan inisiatif sedia ada.

“Kesihatan adalah tanggungjawab semua. Hanya melalui usaha bersama, kita dapat mengekang peningkatan diabetes dan melindungi kesejahteraan generasi akan datang,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • MMA menggesa tindakan segera untuk menangani peningkatan kes diabetes di Malaysia
  • Malaysia berada di kedudukan ke-13 dunia dan tertinggi di Asia Tenggara dengan prevalens diabetes
  • Lebih daripada separuh rakyat Malaysia dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes
  • Diabetes boleh membawa kepada komplikasi serius seperti kegagalan buah pinggang dan penyakit jantung
  • MMA menegaskan pentingnya pencegahan dan menjalani pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali setahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!