Kes eHATI: Suami isteri dipercayai larikan diri ke luar negara

SHAH ALAM - Pengasas motivasi kontroversi eHATI dan suaminya dipercayai melarikan diri ke luar negara sebelum hadir ke mahkamah bagi prosiding pertuduhan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, polis telah mengenal pasti lokasi terbabit iaitu sebuah negara di Asia Tenggara.
Menurutnya, pasangan itu dipercayai meninggalkan negara melalui laluan sah pada 13 Oktober lalu sebelum pertuduhan pada 14 Oktober lalu.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya mereka telah larikan diri ke luar negara sebelum pertuduhan dilaksanakan.
"Namun, kita telah kenal pasti ke negara mana mereka pergi dan PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara itu untuk membantu mengesan penama yang dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka.
"Mereka bergerak lebih awal sebelum waran dikeluarkan," katanya dalam sidang akhbar pelupusan dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Jumaat.
Tambahnya, beri ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan polis menerima laporan berkaitan program motivasi rumah tangga didakwa songsang dan terpesong berlangsung pada bulan September tahun lalu di sebuah pusat konvensyen di Shah Alam.
Berikutan itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan secara terperinci bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan kesahihan maklumat berhubung program motivasi rumah tangga itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, langkah itu diambil agar maklumat diperoleh dengan jelas sebelum sebarang tindakan wajar diambil, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Ringkasan AI
- Pengasas motivasi kontroversi eHATI dan suaminya melarikan diri ke luar negara sebelum hadir mahkamah
- Polis telah mengenal pasti mereka berada di sebuah negara di Asia Tenggara
- Pasangan itu meninggalkan negara secara sah pada 13 Oktober lalu
- PDRM akan berhubung dengan negara tersebut untuk membantu mengesan mereka
- Polis menerima laporan tentang program motivasi rumah tangga yang didakwa songsang di Shah Alam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
