Pegawai Kastam meninggal dunia ketika tunggu solat Asar

HULU TERENGGANU – Seorang pegawai Kastam meninggal dunia ketika menunggu untuk menunaikan solat Asar di surau lelaki Pejabat Kastam Tasik Kenyir di sini pada Rabu.
Mangsa, Ahmad Zaidi Ibrahim, 54, berasal dari Gong Kapas, Kuala Terengganu dan bertugas di Zon Bebas Cukai Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian disedari oleh seorang petugas pembersihan wanita yang terdengar bunyi nafas kuat dan aneh dari dalam surau tersebut.
"Disebabkan rasa ingin tahu, pekerja berkenaan membuka pintu dan mendapati seorang lelaki dalam keadaan tersungkur dengan muka tersembam ke lantai.
"Pekerja itu kemudian segera mendapatkan bantuan orang awam sebelum pegawai perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.
Menurut Sharudin, mayat mangsa dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan hasil pemeriksaan mendapati punca kematian mangsa akibat salur darah jantung tersumbat.
Katanya, jenazah kemudian dibawa pulang ke kediamannya untuk dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan.
Ringkasan AI
- Seorang pegawai Kastam meninggal dunia ketika menunggu untuk menunaikan solat Asar di surau lelaki Pejabat Kastam Tasik Kenyir
- Mangsa, Ahmad Zaidi Ibrahim, 54, berasal dari Gong Kapas, Kuala Terengganu
- Kejadian disedari oleh seorang petugas pembersihan wanita
- Punca kematian mangsa akibat salur darah jantung tersumbat
- Jenazah dibawa pulang ke kediamannya untuk dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
