Sembilan masjid di Terengganu diwartakan lokasi pelaksanaan hukuman sebat syariah

KUALA TERENGGANU - Sembilan masjid di seluruh Terengganu telah ditetapkan sebagai lokasi pelaksanaan hukuman sebat mengikut hukum syarak di luar penjara, yang mula berkuat kuasa pada 20 November tahun lalu.
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, penetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin serta melalui kelulusan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
“Bagi daerah Kuala Terengganu, dua masjid telah dipilih iaitu Masjid Abidin dan Masjid Al-Muktafi Billah Shah, manakala satu masjid masing-masing di setiap daerah lain.
“Langkah ini bagi memudahkan pengurusan dan memastikan pelaksanaan hukuman dijalankan mengikut tatacara serta hukum yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, antara masjid yang diwartakan sebagai lokasi pelaksanaan hukuman ialah Masjid Wakaf Tembesu (Kuala Nerus), Masjid Sultan Ahmad (Kemaman), Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah (Dungun), Masjid Nasiruddin Shah (Besut), Masjid Ajil (Hulu Terengganu), Masjid Kelulut (Marang) dan Masjid Bandar Permaisuri (Setiu).
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berhubung komitmen kerajaan negeri dalam memperkasa pelaksanaan hukum-hukum Islam termasuk Hudud secara berperingkat serta persediaan dari aspek kefahaman masyarakat dan sistem sokongan undang-undang.
Menurut Muhammad Khalil, pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara bagi kesalahan musahaqah pada 2018 dan kes khalwat berulang pada 2024 merupakan langkah berperingkat dalam memperkasa pelaksanaan hukum Islam di negeri ini, selain sebagai proses pendidikan kepada masyarakat.
Selain itu, katanya, kerajaan Terengganu sedang dalam usaha menyemak dan menambah baik Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan Negeri Terengganu yang telah dilancarkan pada tahun 2020 bagi memastikan aktiviti yang dijalankan mematuhi syariat Islam atau patuh syariah.
Katanya, Terengganu melalui hasil kerjasama Bahagian Penguatkuasaan Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu telah melaksanakan Kempen Pencegahan Penguatkuasaan Syariah di pusat beli-belah serta pemasangan papan tanda di tempat awam sekitar bandar Kuala Terengganu.
“Kempen ini bertujuan mendidik masyarakat memahami undang-undang Islam secara lebih mendalam, contohnya kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
“Kempen ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ yang diangkat oleh kerajaan Terengganu juga merupakan salah satu proses pendidikan dan kempen yang dijalankan dalam memugarkan lagi pemerkasaan syariah di Terengganu,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Sembilan masjid di Terengganu ditetapkan sebagai lokasi pelaksanaan hukuman sebat menurut hukum syarak di luar penjara
- Penetapan ini mendapat perkenan Sultan Terengganu dan kelulusan MAIDAM
- Dua masjid di Kuala Terengganu dan satu masjid di setiap daerah lain dipilih untuk pelaksanaan hukuman
- Langkah ini memudahkan pengurusan dan memastikan pelaksanaan hukuman mengikut tatacara yang ditetapkan
- Pelaksanaan hukuman sebat di luar penjara adalah langkah berperingkat dalam memperkasa pelaksanaan hukum Islam di Terengganu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
