Beri alasan hujan lebat, dua pasangan remaja ditangkap khalwat

Anggota penguat kuasa menyerbu salah sebuah bilik hotel sebelum menahan pasangan remaja yang berkhalwat. Foto JAINJ
Anggota penguat kuasa menyerbu salah sebuah bilik hotel sebelum menahan pasangan remaja yang berkhalwat. Foto JAINJ
A
A
A

BATU PAHAT – Dua pasangan remaja dicekup Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam operasi cegah maksiat di sebuah hotel bajet di Batu Pahat, tengah malam Rabu.

Menurut JAINJ, serbuan yang dijalankan antara jam 12 hingga 12.30 pagi itu menemukan masing-masing dua pasangan bukan suami isteri berusia sekitar 20-an di dua bilik berasingan.

"Dalam serbuan pertama, seorang lelaki berpakaian t-shirt dan seluar pendek membuka pintu selepas diketuk penguat kuasa.

"Pemeriksaan lanjut menemui seorang wanita berusia awal 20-an yang menyorok di atas katil sambil berselimut dari hujung kepala hingga kaki," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, siasatan mendapati kedua-duanya belum berkahwin dan wanita berkenaan masih berstatus anak dara.

"Lelaki itu bekerja di sekitar Batu Pahat, manakala pasangannya tidak bekerja dan mendakwa mereka merancang untuk bertunang dalam masa terdekat.

"Pasangan berkenaan memberi alasan keluar ke bandar untuk makan dan melihat mercun sebelum membuat keputusan bermalam di hotel," katanya.

Sementara itu, dalam bilik berasingan, seorang lagi lelaki bujang berusia 20-an ditahan bersama bekas rakan sekolahnya yang turut berstatus anak dara.

"Lelaki itu pada awalnya mendakwa menginap seorang diri, namun selepas pemeriksaan dilakukan menggunakan lampu suluh, penguat kuasa menemui wanita tersebut bersembunyi di dalam tandas.

Artikel Berkaitan:

"Pasangan berkenaan memberi alasan terpaksa berteduh di hotel kerana hujan lebat ketika menunggang motosikal serta tidak membawa baju hujan," katanya lagi.

Kesemua mereka ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat, dan dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Ringkasan AI

  • Dua pasangan remaja dicekup JAINJ dalam operasi cegah maksiat di Batu Pahat
  • Serbuan dijalankan tengah malam dan menemui dua pasangan bukan suami isteri di hotel bajet
  • Masing-masing pasangan memberi alasan berada di hotel, satu untuk bertunang dan satu lagi kerana hujan lebat
  • Kedua-dua pasangan berusia 20-an dan belum berkahwin
  • Ditahan bagi siasatan di bawah Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana disyaki berkhalwat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!