Lebih 100 syarikat Sweden berkembang maju di Malaysia - Duta Sweden

Niklas Wiberg - Foto fail Bernama
Niklas Wiberg - Foto fail Bernama
A
A
A

LEBIH 100 syarikat Sweden kini berkembang maju di Malaysia setelah sekian lama menjadi sebahagian daripada kisah pertumbuhan ekonomi negara dengan kebanyakannya menganggap Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

Duta Besar Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg berkata, kehadiran syarikat-syarikat Sweden sejak sekian lama mencerminkan perkongsian ekonomi yang erat antara kedua-dua negara dan keyakinan Sweden terhadap potensi pertumbuhan Malaysia, khususnya dalam sektor perindustrian serta teknologi.

"Kami mempunyai 103 syarikat Sweden yang beroperasi di Malaysia pada masa ini. Kebanyakan daripada mereka telah berada di sini sejak tahun 1960-an dan menganggapnya sebagai rumah kedua.

"Mereka sedang berkembang maju dan memanfaatkan peluang yang ada, terutamanya dalam sektor perindustrian,” katanya ketika berucap pada Pioneer the Possible - Innovation-led Green and Digital Transition by Malaysia and Sweden Dialogue di sini pada Rabu.

Acara dua hari itu menghimpunkan wakil syarikat Sweden termasuk Atlas Copco, SKF dan Monitor ERP System, selain pembuat dasar serta pemimpin industri bagi forum perniagaan peringkat tinggi, yang turut menjadi platform meningkatkan kesedaran awam mengenai peluang dan cabaran dalam peralihan ini.

Wiberg berkata, Sweden dan Malaysia berkongsi aspirasi yang sama kerana kedua-dua negara berhasrat memacu peralihan hijau dan digital berasaskan inovasi sambil menangani cabaran global seperti perubahan iklim serta landskap geopolitik yang tidak menentu.

"Kita berdepan perubahan iklim dan landskap geopolitik yang tidak menentu. Sesetengah negara semakin 'bersikap tertutup', tarif semakin meningkat dan sistem serta orde dunia lama yang selama ini kita anggap kekal kini sedang digantikan dengan sesuatu yang baharu namun belum ditentukan bentuknya.

"Tetapi apa yang masih kekal benar dan relevan ialah peluang - peluang yang kami lihat di Malaysia dan peluang untuk bekerjasama bagi meningkatkan kecekapan,” katanya sambil menegaskan bahawa kerjasama adalah kunci kepada pengukuhan hubungan dua hala. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Lebih 100 syarikat Sweden berkembang maju di Malaysia dan negara ini dianggap sebagai rumah kedua
  • Duta Besar Sweden ke Malaysia, Niklas Wiberg menekankan, kehadiran syarikat-syarikat Sweden mencerminkan perkongsian ekonomi yang erat
  • Syarikat-syarikat tersebut beroperasi sejak tahun 1960-an terutamanya dalam sektor perindustrian
  • Acara 'Pioneer the Possible' diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai peluang dan cabaran dalam peralihan hijau dan digital
  • Sweden dan Malaysia berkongsi aspirasi untuk memacu peralihan hijau dan digital sambil menangani cabaran global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!