Dua pegawai bomba temui wanita hilang terbabas dalam paya

TASEK GELUGOR - Naluri penyelamat dua pegawai bomba terbukti apabila mereka secara kebetulan menemui seorang wanita yang hilang sejak malam Selasa selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan di kawasan Jalan Pokok Machang di sini.
Mangsa berusia 23 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah dan cedera pada bahagian kaki selain patah tangan selepas dipercayai terbabas sendiri sebelum terjatuh ke dalam paya dan dihanyutkan arus.
Difahamkan, mangsa keluar dari rumah selepas solat Isyak pada Selasa namun gagal dihubungi sejak itu menyebabkan ahli keluarga memulakan pencarian awal pagi Rabu apabila motosikal mangsa ditemui di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah agama.
Ketua Zon 4 (Butterworth), Penguasa Kanan Bomba II, Rosli Zakaria berkata, dua pegawai iaitu Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Luqman Mahmud dan Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Zainudin Abu Bakar yang baru selesai menjalankan siasatan kes kebakaran di kawasan berhampiran terserempak dengan keluarga mangsa ketika sedang melakukan pencarian.

Menurutnya, keprihatinan sebagai anggota penyelamat menyebabkan kedua-dua pegawai berkenaan segera membantu mencari mangsa yang kemudiannya ditemukan di tepi semak berhampiran paya kira-kira 100 meter dari motosikalnya.
"Manga ditemukan terbaring dalam keadaan tidak bermaya oleh kedua-dua pegawai bomba berkenaan.
"Sebaik ditemui, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor dihubungi bagi membantu mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Rosli berkata, kepekaan dan keprihatinan dua pegawai tersebut wajar dipuji kerana tindakan pantas mereka berjaya menyelamatkan nyawa mangsa.
"Naluri dan kecekapan anggota bomba di lapangan sering menjadi faktor penentu dalam operasi sebegini.
"Ia membuktikan komitmen pasukan bomba sentiasa bersedia, bukan sahaja ketika panggilan kecemasan diterima, tetapi juga dalam situasi harian,"katanya.
Ringkasan AI
- Naluri penyelamat dua pegawai bomba membantu menemui wanita yang hilang selepas kemalangan di Jalan Pokok Machang, Tasek Gelugor
- Wanita berumur 23 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah dengan kecederaan di kaki dan patah tangan setelah terbabas dan terjatuh ke dalam paya
- Mangsa hilang selepas keluar rumah pada malam Selasa dan keluarganya memulakan pencarian selepas motosikalnya ditemui di tepi jalan
- Dua pegawai bomba itu terserempak dengan pencarian keluarga mangsa dan membantu menemuinya
- Mangsa selamat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut berkat keprihatinan dan kecekapan dua pegawai bomba tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
