Selangor Techsphere 2025 lonjak daya saing industri pintar

PENGANJURAN Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 (STS 2025) dilihat sebagai langkah memperkukuh hala tuju industri tempatan ke arah pembuatan pintar dan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penganjuran di bawah jenama Hannover Messe mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan Selangor dan Malaysia dalam memenuhi piawaian global industri.
“Ini bukan lagi perbincangan tentang usaha untuk mengejar pihak lain tetapi usaha menempatkan Malaysia sebagai rakan kongsi dipercayai, hab serantau dan pemain kompetitif dalam ekonomi inovasi global.
“Apa yang berlaku dalam sidang ini tidak terhad kepada dewan ini sahaja kerana ia mengukuhkan industri, memperkasa bakat tempatan dan membuka peluang baharu untuk generasi seterusnya,” katanya ketika merasmikan STS 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di Kuala Lumpur pada Selasa.
Sidang kemuncak itu julung kali dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Pusat Pembangunan Teknikal Selangor (STDC) dengan kerjasama Deutsche Messe, peneraju global di bawah jenama Hannover Messe.
Lebih 2,000 delegasi dan pengunjung dari lebih 20 negara dijangka hadir ke sidang kemuncak itu termasuk tokoh industri dan pembuat dasar ASEAN, China, Jepun, Korea, Eropah serta Timur Tengah.
Antara penyertaan utama ialah syarikat peneraju global seperti Siemens, KNX, Festo serta pelbagai pemain industri teknologi canggih lain yang bakal mempamerkan sistem automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau terkini.
Persidangan selama dua hari itu turut menghimpunkan pakar antarabangsa dan tempatan bagi membincangkan strategi penerapan teknologi baharu, kelestarian dan pembangunan tenaga kerja industri.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, program itu menjadi batu loncatan strategik bagi mengukuhkan peranan Selangor dan Malaysia dalam arena teknologi serta inovasi global.
“Penganjuran tersebut menandakan langkah strategik Selangor dalam menempatkan Malaysia di pentas dunia sebagai hab inovasi dan teknologi industri termaju.
“Di sini lahirnya idea yang merungkai cabaran dan cita-cita diterjemah kepada kemajuan,” katanya.
Amirudin berkata, inisiatif itu juga sejajar dengan aspirasi Rancangan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) dan kerangka Industry4WRD, selaras dengan misi kerajaan untuk memperkukuh daya saing sektor pembuatan dan tenaga kerja tempatan.
“Perkongsian strategik bersama Deutsche Messe menempatkan Selangor dan Malaysia dalam rangkaian global yang sama dengan negara-negara maju di Eropah. Ia membolehkan pemindahan teknologi, kerjasama industri dan pembangunan tenaga kerja menyeluruh.
“Selangor mengalu-alukan dunia untuk menyaksikan komitmen kami dalam sektor pembuatan maju, teknologi bersih dan pembangunan bakat berkemahiran,” katanya.
Tambahnya, dengan sokongan STDC, Majlis Profesional Teknologi Malaysia (MBOT) dan HRD Corp, penganjuran STS 2025 diyakini akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju industri serantau menjelang 2030.
Pada majlis sama STDC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan BMW Group Malaysia bagi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bakat dan kemahiran teknikal industri automotif tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif STDC, Dr Harizal Hamid berkata, inisiatif berimpak tinggi itu membuka lembaran baharu dalam meningkatkan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia melalui pelaksanaan BMW Next Generation Technician (BMW NextGT) Programme.
“Fokus utama kami adalah membawa pensijilan tambahan kepada pelajar sedia ada STDC, daripada Sijil Kemahiran Malaysia kepada persijilan profesional dalam bidang automotif yang dikeluarkan oleh BMW. Itu adalah konsep asasnya.
“Di samping itu, program ini memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang penerokaan industri dan teknologi kenderaan elektrik (EV). BMW akan memainkan peranan penting dari sudut memberi pendedahan teknologi baharu serta meneroka peluang pembangunan kerjaya untuk pelajar kami,” katanya.
Melalui MoU tersebut, tenaga pengajar automotif STDC akan menjalani latihan intensif berdasarkan BMW Technician Qualification Framework yang bertujuan memberi pendedahan menyeluruh terhadap teknologi, amalan penyelenggaraan dan piawaian global BMW.
Ringkasan AI
- Penganjuran Sidang Kemuncak Selangor Techsphere 2025 (STS 2025) memperkukuh industri tempatan ke arah pembuatan pintar dan ekonomi berasaskan teknologi tinggi
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyatakan penganjuran ini mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kemampuan Selangor dan Malaysia
- Lebih 2,000 delegasi dan pengunjung dari lebih 20 negara dijangka hadir, dengan penyertaan syarikat peneraju global
- Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penganjuran ini merupakan batu loncatan strategik Selangor dan Malaysia dalam teknologi serta inovasi global
- STDC menandatangani Memorandum Persefahaman dengan BMW Group Malaysia untuk pembangunan bakat dan kemahiran teknikal industri automotif tempatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
