[VIDEO] PRN Sabah: Lima calon Pemuda BN sudah mencukupi – Dr Akmal

A
A
A

MELAKA – Pemberian lima kerusi kepada calon Pemuda Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai jumlah yang mencukupi dan antara paling ramai dalam sejarah penyertaan sayap itu sebelum ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah tersebut dianggap memadai bagi memastikan keseimbangan penyertaan antara semua komponen parti dalam BN, namun tidak menolak penambahan kuota sekiranya dipersetujui oleh pucuk pimpinan.

Dr Akmal (tengah) ketika ditemui pada Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka Tahun 2025 pada Selasa.
Dr Akmal (tengah) ketika ditemui pada Program Pemindahan Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas Negeri Melaka Tahun 2025 pada Selasa.

“Bagi saya lima (calon) dah cukup, kita nak beri ruang kepada semua orang. UMNO bukan soal Pemuda sahaja, tapi BN untuk semua.

“Namun, jika ada (tambahan), kita akan terima sahaja. Tapi setakat ini, lima kerusi sahaja. Kita pun dah fokus dan aturkan semua Pemuda untuk pastikan kejayaan di lima tempat ini,” katanya ketika mengulas persiapan PRN Sabah.

Lima calon Pemuda BN dalam PRN Sabah terdiri daripada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ranau, Md Nadzmin Kamin (DUN Karanan); Ketua Pemuda UMNO Sepanggar, Arfanshah Abd Gafar (DUN Darau); Ketua Pemuda UMNO Lahad Datu, Datuk Seri Anil Sandu (DUN Kunak); Bendahari Pemuda UMNO Tawau, Dr Elmiariezan Ardan (DUN Apas) dan Ketua Pemuda UMNO Tuaran, Dr Shahnon Rizal Thaijuddin (DUN Sulaman).

Beliau menyatakan keyakinan bahawa calon-calon Pemuda BN mampu memberikan saingan sengit kepada pihak lawan, termasuk dua calon yang bakal menentang Ketua Menteri di DUN Sulaman serta Menteri Kanan Sabah di DUN Karanan.

“Kita tidak akan lemah semangat dan akan berikan yang terbaik. Saya percaya dengan jumlah pengundi muda di Sabah yang hampir 54 peratus berusia bawah 40 tahun, golongan ini mahukan perubahan yang baik. Insya-Allah, mereka akan memilih calon kita.

Artikel Berkaitan:

“Saya juga amat positif bahawa calon kita mampu memberikan keputusan yang akan memeranjatkan semua pihak, insya-ALLAH,” katanya.

Ringkasan AI

  • MELAKA - Pemberian lima kerusi kepada calon Pemuda Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dianggap mencukupi dan antara paling ramai dalam sejarah penyertaan sayap itu
  • Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata jumlah itu memadai untuk keseimbangan antara komponen parti dalam BN
  • Lima calon Pemuda BN terdiri daripada Ketua Pemuda UMNO dari Bahagian Ranau, Sepanggar, Lahad Datu, Tawau, dan Tuaran
  • Keyakinan terhadap calon-calon Pemuda BN untuk memberikan saingan sengit termasuk menentang Ketua Menteri dan Menteri Kanan Sabah
  • Percaya pengundi muda di Sabah yang berusia bawah 40 tahun mahukan perubahan dan akan memilih calon BN

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!