Abang bomba turun 22kg untuk kekal 'fit’

MELAKA - Seorang anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Johor berjaya menurunkan berat badan sehingga 22 kilogram (kg) demi memastikan dirinya kekal cergas ketika bertugas.
Menerusi Program Pengurusan Berat Badan anjuran Klinik Kesihatan Jasin, Nurul Hamizan Sawal, 34, berjaya menurunkan berat badan daripada 83.6kg kepada 61.6kg dalam tempoh enam bulan.
Nurul Hamizan berkata, kesedaran untuk menurunkan berat badan adalah bagi memenuhi kriteria anggota badan beruniform dalam menjaga Indeks Jisim Badan (BMI).
“Saya tak ada penyakit, cuma sebelum ini badan agak berisi. Bila tengok diri sendiri dalam cermin, makin hari badan makin naik, jadi saya cuba ubah gaya hidup.

“Menerusi program ini, saya ambil peluang untuk kuruskan badan pada masa sama mendapatkan bentuk fizikal yang lebih fit untuk digunakan dalam pekerjaan saya,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau ditemui semasa Sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat negeri Melaka di Mahkota Parade, di sini pada Ahad.
Pada program itu, Nurul Hamizan memenangi tempat pertama pertandingan Kasi Trim Untuk Fit Peringkat Negeri Melaka (Ketegori Klinik Obesiti).
Bapa kepada tiga anak itu berkata, sebelum ini pernah berusaha untuk menurunkan berat badan namun tidak berjaya kerana kekurangan pengetahuan mengenai cara pengurusan yang betul.
“Sebelum ni nak kurus, saya kawal makan, tapi rupa-rupanya cara tu tak betul sebab kalori yang diambil tak sama dengan keperluan badan.
“Bila masuk program baru faham, rupanya kawal makan saja tak cukup. Kita kena tahu berapa kalori yang diperlukan badan,” ujarnya.
Tambahnya, selain diajar tentang pengambilan kalori yang betul, senaman secara berkala turut dititikberatkan.
“Untuk kekal konsisten, perlu ada pemikiran yang kuat. Setiap kali bangun pagi saya cakap dengan diri sendiri, ada misi yang perlu disiapkan. Dari situ datangnya motivasi dan disiplin diri.
“Saya buat senaman tiga hingga empat kali seminggu. Saya juga tidak mengambil makanan serta minuman manis, hanya minum air kosong,” katanya.
Ringkasan AI
- Seorang anggota bomba dari BBP Bukit Gambir, Johor berjaya menurunkan berat badan 22kg demi kecergasan bertugas
- Melalui Program Pengurusan Berat Badan anjuran Klinik Kesihatan Jasin, beratnya berkurang dari 83.6kg ke 61.6kg dalam enam bulan
- Nurul Hamizan menurunkan berat badan untuk memenuhi kriteria BMI anggota beruniform
- Beliau memenangi tempat pertama dalam pertandingan Kasi Trim Untuk Fit Peringkat Negeri Melaka
- Mengajar tentang pentingnya pengambilan kalori yang sesuai dan menjalani senaman secara berkala untuk pengurusan berat badan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

