Kedah bentang Belanjawan 2026 cecah RM1.33 bilion

Sanusi ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Isnin. - FOTO Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman UPDA
Sanusi ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Isnin. - FOTO Facebook Urus Setia Penerangan Darul Aman UPDA
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah kira-kira RM1.33 bilion bagi tujuan pengurusan dan pembangunan negeri tahun hadapan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan tersebut melibatkan perbelanjaan mengurus, Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, Kumpulan Wang Pembangunan Hutan dan Kumpulan Wang Bekalan Air.

"Bajet Negeri Kedah 2026 adalah bajet tahun pertama dalam Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan masih meneruskan agenda Pelan Pembangunan Kedah 2035 dan The Greater Kedah 2050.

"Untuk tahun 2026, kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM838 juta dengan peningkatan RM48 juta berbanding anggaran tahun 2025," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kedah 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini pada Isnin.

Menurutnya, anggaran hasil kutipan pada tahun 2026 dipecahkan mengikut kategori termasuk hasil tanah sebanyak RM554.81 juta, pelbagai hasil (RM232.88 juta), hasil hutan (RM33 juta) dan hasil daerah berjumlah RM17.31 juta.

"Peruntukan perbelanjaan mengurus bagi tahun 2026 berjumlah RM937 juta dengan kenaikan berjumlah RM47.1 juta atau 5.29 peratus. Daripada jumlah itu, sebanyak RM91.4 juta adalah diperuntukkan sebagai Caruman Kumpulan Wang Pembangunan Negeri untuk menampung defisit Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air.

"Di bawah peruntukan perbelanjaan mengurus, pecahan bagi maksud perbelanjaan tanggungan adalah berjumlah RM87.33 juta dan perbelanjaan bekalan berjumlah RM849.67 juta," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, mengambil kira anggaran hasil, peruntukan perbelanjaan mengurus, peruntukan Kumpulan Wang Pembangunan Negeri dan Kumpulan Wang Bekalan Air, defisit bagi tahun 2026 dianggarkan pada 11.81 peratus atau RM99 juta.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, bajet tahun 2026 merupakan cetusan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekonomi, mensejahterakan rakyat, melestarikan alam sekitar dan memastikan tadbir urus cekap serta beramanah demi kemakmuran bersama.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Kedah membentangkan Belanjawan 2026 berjumlah kira-kira RM1.33 bilion
  • Bajet tersebut adalah tahun pertama Rancangan Pembangunan Malaysia Ke-13 dan menyokong Pelan Pembangunan Kedah 2035 serta The Greater Kedah 2050
  • Untuk 2026, kerajaan negeri menganggarkan hasil sebanyak RM838 juta, dengan peningkatan RM48 juta berbanding tahun sebelumnya
  • Peruntukan perbelanjaan mengurus 2026 adalah RM937 juta, naik RM47.1 juta atau 5.29 peratus dari tahun sebelumnya
  • Defisit bajet 2026 dianggarkan pada 11.81 peratus atau RM99 juta, mencerminkan komitmen memperkukuh ekonomi dan mensejahterakan rakyat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!