Seksanya terpenjara akibat Covid-19

No Image Caption
A
A
A

GENAP seminggu Perintah Kawalan Pergerakan, saya berasa gelisah dan amat bosan terkurung di rumah sendiri, terputus langsung dari dunia luar yang ceria.

Sebagai pemegang pas media, saya sebenarnya bebas bergerak ke mana sahaja.

Tetapi oleh sebab usia lanjut, 66 tahun dan berpenyakit kronik pula, saya dinasihatkan untuk berkurung dan melakukan kerja dari rumah.

Biasanya pada hari tidak bekerja, saya selesa bersantai di hadapan TV, menonton program saluran-saluran pilihan, paling saya minati ialah AFN − Asian Food Network.

Sambil menonton mengunyah makanan. Alangkah nikmat!

Tetapi kali ini saya terkurung untuk tempoh dua minggu − dalam keadaan negara diancam koronavirus (Covic-19). Jangankan hendak bersantai hendak makan pun tidak berselera.

Kawasan perumahan tempat saya tinggal lengang. Tidak ada teriakan ‘surat khabar lama’ atau jeritan penjual roti atau aiskrim.

Hatta pekerja pemotong rumput warga Bangla pun tidak kelihatan. Hanya sesekali kedengaran motosikal menghantar pesanan makanan.

Artikel Berkaitan:

Tiada bunyi bising dan keriangan di luar rumah atau di jalan dan lorong kecuali laungan azan yang setiap masuk waktu solat.

Taman perumahan yang biasanya sibuk dengan kegiatan kini sunyi sepi.

Menonton TV tidak lagi sesuatu yang menarik kerana AFN dan lain-lain rangkaian popular itu bukan lagi menjadi pilihan.

Tetapi ada rangkaian berita untuk mengikuti perkembangan semasa.

Baik stesen tempatan atau rangkaian berita luar negara − CNN, BBC dan Al-Jazeera − tidak ada berita lain kecuali Covid-19. Laporan 24 jam perihal virus maut dari Wuhan itu.

Rupa-rupanya kawalan pergerakan bukan sahaja di tempat kita tetapi di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat, Eropah − di mana sahaja − ketakutan dan kebimbangan mencengkam jutaan penduduk dunia.

Hakikatnya, jutaan umat manusia telah dijangkiti kuman maut ini, puluhan ribu telah meninggal dunia dengan Itali merekodkan lebih 7,000 kematian tertinggi.

Menyedihkan di Itali, alat perubatan di hospital tidak dapat menampung keperluan pesakit sehingga keutamaan peralatan diberikan kepada orang muda, warga tua terlantar kerana kekurangan peralatan.

Seperti yang disiarkan media antarabangsa − juga media tempatan − kota-kota besar dunia yang selama ini ceria dan riang kini sunyi-sepi. Setiap saat ada saja kematian baru akibat Covid-19.

Demikian dahsyatnya pandemik yang melanda umat. Atas sebab itulah kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan sebagai usaha mengawal merebaknya wabak tersebut.

Tetapi sesetengah orang kita tidak prihatin − sebenarnya degil dan bodoh sombong, memandang enteng arahan kerajaan. Contoh, ramai jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling masih tidak bekerjasama dan melarikan diri daripada saringan kesihatan.

Mereka enggan serah diri walaupun pihak berkuasa berkali-kali merayu supaya saringan kesihatan dilakukan. Hakikatnya, sebahagian jangkitan dan kematian di tempat kita telah disahkan berpunca daripada kluster tabligh berkenaan.

Secara peribadi, saya tiada sebarang prejudis terhadap golongan pendakwah berkenaan. Tetapi sakit juga hati sekiranya mereka terus takbur tidak mahu bekerjasama dan rela membiarkan orang lain dijangkiti. Mereka sepatutnya insaf.

Orang ramai juga tidak cakna dengan Perintah Kawalan Pergerakan. Tidak berkurung di rumah seperti yang dikehendaki, mereka keluar seperti biasa macam tidak takut langsung dengan wabak yang telah menjangkiti beribu rakyat kita − ketika rencana ini ditulis lebih 17 orang maut di tempat kita.

Apa yang dikesalkan ialah ada yang angkuh tidak menghiraukan arahan sebaliknya mempersendakan pihak berkuasa yang menjalankan tugas. Mereka telah ditangkap dan direman, padan muka!

Negara kita dalam masalah. Kita kena memberikan sepenuh kerjasama untuk membantu pihak berkuasa bagi menjayakan perintah kawalan pergerakan.Saya tabik dan mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan termasuk rakan-rakan wartawan kerana ketabahan dan keikhlasan mereka menghadapi saat-saat mencabar ini.

Mereka sebenarnya wira-wira tidak didendang. Syabas!

*Datuk Abd Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Editorial Sinar Harian dan juga Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah