Melaka negeri kedua tertinggi penghidap diabetes di Malaysia

Hee Sem (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat negeri Melaka pada Ahad.
Hee Sem (dua dari kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat negeri Melaka pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Melaka menjadi negeri kedua penghidap diabetes tertinggi di Malaysia dengan anggaran sekurang-kurangnya 4,000 kes baharu direkodkan setiap tahun.

Berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Melaka merekodkan 20.5 peratus kadar prevalens keseluruhan diabetes selepas Pahang.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, seramai 123,468 pesakit diabetes dicatatkan setakat ini berbanding 119,005 orang pada tahun lalu.

“Statistik setiap tahun menunjukkan peningkatan sekitar 4,000 kes baharu setiap tahun.

Hee Sem
Hee Sem

“Daripada jumlah itu, 43,791 pesakit berada dalam kategori aktif, iaitu mereka yang masih mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Diabetes Sedunia peringkat negeri Melaka di Mahkota Parade di sini pada Ahad.

Beliau menasihati masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dengan mengurangkan pengambilan gula, melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti senaman seminggu, pemakanan sihat dan mewujudkan persekitaran tempat kerja sihat.

Hee Sem turut memaklumkan, kesedaran masyarakat untuk membuat pemeriksaan kesihatan masih rendah dan menggalakkan orang ramai berbuat demikian di klinik kesihatan berhampiran.

Artikel Berkaitan:

“Apabila kita tahu keadaan kesihatan diri, barulah kita boleh kawal pemakanan dan gaya hidup.

"Jika kita tidak buat saringan, kita tidak sedar tahap kesihatan kita. Sebab itu ramai golongan muda berumur antara 18 hingga 26 tahun tidak sedar bahawa mereka sudah menghidap diabetes,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Ruzita Mustaffa berkata, program Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) kini memasuki tahun ketiga pelaksanaannya dan pada tahun lalu saringan tersebut mula dibuka kepada individu berumur 18 tahun ke atas.

“Dulu saringan hanya untuk mereka berumur 35 tahun ke atas, tetapi sejak tahun lepas ia dibuka kepada umur 18 tahun ke atas. Ini kerana kes diabetes dan darah tinggi kini semakin banyak dikesan dalam kalangan belia berumur sekitar 20 tahun.

“Setakat ini, sebanyak 52,526 orang (76 peratus) telah menjalani saringan kesihatan di seluruh negeri Melaka berbanding sasaran 68,870 orang yang ditetapkan,” katanya.

Ujarnya lagi, saringan kesihatan boleh dibuat secara percuma di semua klinik kesihatan (KK) serta melalui program luar yang dianjurkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka.

Ringkasan AI

  • Melaka negeri kedua tertinggi penghidap diabetes di Malaysia dengan anggaran sekurang-kurangnya 4,000 kes baharu setiap tahun
  • Melaka mencatatkan 20.5 peratus kadar prevalens diabetes berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023
  • Seramai 123,468 pesakit diabetes dicatatkan setakat ini di Melaka
  • Exco negeri menasihati masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat untuk mengurangkan risiko diabetes
  • Saringan kesihatan percuma disediakan di semua klinik kesihatan dan melalui program luar anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Melaka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!