'Barisan hadapan kerja tanpa henti hampir tiga bulan'

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) telah menyelaraskan tenaga kerja di hospital kerajaan bagi mengurangkan beban petugas kesihatan sedia ada dalam mendepani wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan beban kerja petugas kesihatan khususnya di hospital kerajaan kerana ada antara mereka telah bekerja tanpa henti cukup lama.

"Betul ‘barisan hadapan’ kita memang telah bekerja tanpa henti lebih kurang tiga bulan termasuk di KKM sendiri, tetapi apa yang penting sekarang adalah kita dapat menyelaraskan sumber manusia kita.

"Ini termasuk petugas latihan dalam perkhidmatan sebanyak 3,400 kakitangan dan kita telah kerahkan mereka ke hospital dan klinik," katanya pada sidang media harian di sini hari ini.

Katanya, daripada 3,400 yang dikerahkan itu, 2,500 merupakan jururawat berpengalaman dan sedang menjalankan latihan dalam perkhidmatan untuk membantu di klinik serta hospital kerajaan.

Kata Dr Noor Hisham, 3,000 jururawat dan pegawai perubatan kontrak termasuk yang telah bersara dikenal pasti untuk membantu KKM dalam proses rawatan pesakit Covid-19.

"Sekarang kita sedang mengenal pasti kepakaran jururawat itu sama ada akan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), di dewan bedah dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Kita akan gunakan kepakaran mereka untuk penempatan sama ada di klinik ataupun hospital KKM,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, tempoh kerja maksimum bagi jururawat adalah lapan jam sehari manakala doktor pula 16 jam sehari.

Menjawab soalan mengenai status Hospital Teluk Intan, Perak, Dr Noor Hisham memaklumkan hospital itu pada keseluruhannya masih beroperasi seperti biasa.

"Hanya Jabatan Kecemasan dan Wad Permerhatian Jabatan Kecemasan hospital ditutup hari ini bagi membolehkan kerja-kerja pencucian dan nyah kuman.

"Namun begitu Jabatan Kecemasan Hospital Teluk Intan tetap beroperasi di bangunan Unit Pesakit Luar buat sementara," katanya. - BERNAMA