Polis lumpuhkan kegiatan perlombongan bitcoin haram, 69 mesin dirampas

PARIT - Polis melumpuhkan kegiatan perlombongan mata wang digital (bitcoin) secara haram selepas menyerbu tiga premis rumah kedai di sekitar Seri Iskandar dekat sini pada Jumaat.
Operasi khas yang dijalankan antara jam 4 petang hingga 7 malam itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah dengan bantuan SEAL Team Tenaga Nasional Berhad (TNB) Bahagian Utara.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, serbuan itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berhubung kegiatan mencuri bekalan elektrik untuk menjalankan aktiviti perlombongan mata wang digital di kawasan berkenaan.
“Serbuan dibuat di tiga premis rumah kedai di Persiaran Seri Iskandar Prima 3, yang disyaki dijadikan pusat kegiatan perlombongan bitcoin secara haram," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pemeriksaan oleh pasukan khas TNB mendapati terdapat sambungan elektrik tidak sah di semua premis terbabit, dipercayai bagi membolehkan mesin perlombongan beroperasi tanpa melalui meter bacaan sebenar.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati setiap premis telah diubah suai dengan bilik berpartisyen untuk menempatkan mesin-mesin perlombongan bitcoin," katanya.
Menurutnya, hasil serbuan itu, pihak polis berjaya merampas 69 unit mesin perlombongan bitcoin bersama beberapa peralatan sokongan yang digunakan untuk kegiatan berkenaan.
"Kesemua barang rampasan telah dibawa balik ke IPD Perak Tengah untuk tindakan lanjut. Tiga kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447)," jelasnya.
Orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti perlombongan bitcoin haram atau kecurian arus elektrik kepada IPD Perak Tengah di talian 05-3712222.
Ringkasan AI
- Polis melumpuhkan kegiatan perlombongan bitcoin secara haram di Seri Iskandar
- Operasi khas melibatkan pegawai dan anggota IPD Perak Tengah bersama SEAL Team TNB
- Serbuan berdasarkan risikan tentang pencurian bekalan elektrik untuk perlombongan bitcoin
- Pemeriksaan mendapati sambungan elektrik tidak sah di premis terlibat
- Polis merampas 69 unit mesin perlombongan bitcoin dan membuka tiga kertas siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

