Miss Universe di Thailand kecoh

BANGKOK - Miss Universe 2025 yang berlangsung di Thailand dicemari kontroversi apabila peserta dari Mexico, Fatima Bosch dikatakan menerima penghinaan daripada hos pertandingan, Nawat Itsaragrisil.
Susulan peristiwa itu Fatima meninggalkan pertandingan itu secara dramatik.
Insiden itu turut disaksikan secara langsung oleh penonton menerusi livestream.
Fatima yang memakai gaun malam dan tumit tinggi dikatakan dipanggil 'bodoh' oleh hos berkenaan kerana didakwa gagal menyiarkan kandungan promosi di media sosial.
Bagaimanapun, Nawat menafikan menggunakan perkataan itu.
Selepas memanggil pihak keselamatan, Fatima tetap meninggalkan sesi tersebut dengan diiringi Miss Iraq sebagai tanda sokongan.
“Apa yang dilakukan pengarah anda tidak menghormati saya,” kata Fatima.
“Dunia perlu tahu kerana kami wanita berdaya dan platform ini adalah untuk suara kami," katanya.
Tindakan itu mendapat perhatian Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, yang menyifatkan Fatima sebagai contoh bagaimana wanita perlu bersuara apabila berdepan agresi.
“Dalam acara awam, saya katakan wanita lebih cantik apabila bersuara. Jadi pengiktirafan saya kepada gadis muda ini,” katanya.
Sementara itu, Nawat menerima kritikan terbuka daripada Miss Universe Organization.
Presiden organisasi itu, Raul Rocha berkata, tingkah laku Nawat melanggar nilai hormat dan maruah terhadap wanita.
Nawat kemudian memohon maaf secara terbuka semasa upacara pembukaan malam Rabu dengan wajah sebak.
“Saya manusia, tekanan terlalu tinggi. Saya tidak berniat mencederakan sesiapa dan saya amat menghormati anda semua. Saya minta maaf," katanya.
Kontroversi bukan perkara baru bagi Nawat, yang juga Presiden Miss Grand International (MGI)
Tahun lalu, peserta MGI meluahkan rasa kecewa apabila terpaksa duduk di kerusi plastik dan makan kacang di atas bot pelancong di Kemboja, bukannya menikmati pengalaman mewah seperti dijanjikan.
Selain itu, media Thailand melaporkan polis sedang menyiasat peserta yang didakwa merakam video menggunakan bantal bertanda kasino dalam talian, yang melanggar undang-undang perjudian negara itu.
Jika tiada insiden lain, final Miss Universe 2025 dijadual berlangsung pada 21 November di wilayah Nonthaburi. - AFP
Ringkasan AI
- Miss Universe 2025 di Thailand dicemari kontroversi, hos Nawat Itsaragrisil didakwa menghina peserta Mexico, Fatima Bosch
- Fatima Bosch meninggalkan pertandingan secara dramatik dengan sokongan Miss Iraq
- Nawat Itsaragrisil menafikan menggunakan perkataan menghina tetapi kemudian memohon maaf secara terbuka
- Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, menyifatkan Bosch sebagai contoh wanita yang berani bersuara
- Kontroversi bukan baru bagi Nawat, termasuk kekecewaan peserta terdahulu dan siasatan polis terhadap peserta lain
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
