LZS didik lebih 200 asnaf fahami kepentingan penjagaan, pemakanan sihat

Md Yusmizan (depan, enam dari kanan) bergambar bersama golongan asnaf yang menyertai Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 pada Sabtu.
Md Yusmizan (depan, enam dari kanan) bergambar bersama golongan asnaf yang menyertai Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 pada Sabtu.
A
A
A

PUCHONG - Lembaga Zakat Selangor (LZS) membantu lebih 200 warga asnaf memahami kepentingan penjagaan kesihatan dan amalan pemakanan sihat menerusi pelaksanaan Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 pada Sabtu.

Timbalan Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Md Yusmizan Yusof berkata, program itu julung kali diadakan dengan kerjasama Perkhidmatan Dietetik Kementerian Kesihatan (KKM) Selangor dan jawatankuasa Masjid As-Salam Puchong Perdana.

Menurut beliau, ia bertujuan memberi kesedaran kepada golongan asnaf mengenai peranan pemakanan dalam mencegah dan mengawal penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi serta obesiti.

"Alhamdulillah, pada hari ini kita menganggarkan kehadiran lebih 200 hingga 300 orang peserta.

"Selain program kesedaran, kita turut mengadakan sesi ‘Jejak Kemiskinan’ bagi mengenal pasti serta mendaftar asnaf baharu di sekitar komuniti Masjid As-Salam," katanya kepada media selepas perasmian Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 di Masjid As-Salam, Puchong Perdana pada Sabtu.

Turut diadakan penyerahan sumbangan kepada dua penerima bantuan perubatan dialisis LZS.

Md Yusmizan berkata, pendekatan berasaskan pencegahan kini menjadi tumpuan utama seiring komitmen LZS untuk memastikan asnaf bukan sekadar dibantu dari segi kewangan, tetapi turut dibimbing untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan produktif.

Menurutnya, dalam majlis sama, LZS juga menyerahkan simbolik penyampaian Bantuan Perubatan berjumlah RM114.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025.

"Kita turut menyerahkan bantuan kepada dua penerima. Pertama, bantuan kepada pesakit dialisis berjumlah kira-kira RM41,000, meliputi kos rawatan sepanjang tahun.

Artikel Berkaitan:

"Kedua, kita menyalurkan bantuan kepada pesakit kanser payudara tahap tiga, melibatkan kos ubat kemoterapi yang perlu diambil setiap bulan," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Bidang Pegawai Dietatik KKM, Negeri Selangor, Dzairudzee Rosli berkata, pendekatan turun padang itu juga memudahkan golongan asnaf untuk mendapatkan maklumat tanpa perlu hadir ke hospital, sekali gus menjimatkan masa dan kos perjalanan.

"Ramai sebenarnya mahu belajar tentang pemakanan sihat, namun tidak berpeluang untuk hadir ke hospital disebabkan kos, masa dan kesukaran logistik.

"Sebab itu program seperti ini penting, kerana kita datang kepada komuniti, bukan menunggu mereka datang kepada kita," katanya.

Sementara itu, penerima bantuan perubatan dialisis LZS, Hamimah Mohamed Nor, 51, menzahirkan rasa syukur atas keprihatinan LZS yang sentiasa membantu meringankan beban golongan memerlukan sepertinya.

“Alhamdulillah, saya mula menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor sejak tahun 2015, sama ada dari segi perbelanjaan perubatan, sewa rumah dan juga barangan keperluan harian,” menurutnya.

Hamimah menerima bantuan berjumlah RM41,544 manakala penerima kedua, Norlihaslida Osman, 46 pula mendapat sumbangan bernilai RM14,400.

 

 

Ringkasan AI

  • Lembaga Zakat Selangor membantu lebih 200 warga asnaf dengan Program Perkhidmatan Dietetik Komuniti 2025 yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan dan pemakanan sihat
  • Program ini adalah kerjasama antara LZS, Perkhidmatan Dietetik Kementerian Kesihatan Selangor dan Masjid As-Salam Puchong Perdana
  • Sesi 'Jejak Kemiskinan' diadakan untuk mengenal pasti dan mendaftar asnaf baru di komuniti Masjid As-Salam
  • LZS menganggap pendekatan pencegahan sebagai tumpuan utama untuk memastikan asnaf menjalani kehidupan sihat dan produktif
  • LZS juga menyalurkan bantuan perubatan berjumlah RM114.9 juta kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor bagi tempoh Januari hingga Oktober 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!