1,679 rakyat Malaysia masih terkandas di India

Kementerian Luar akan terus berusaha membawa pulang 1,679 orang rakyat Malaysia yang masih lagi terkandas di India dengan segera.
Kementerian Luar akan terus berusaha membawa pulang 1,679 orang rakyat Malaysia yang masih lagi terkandas di India dengan segera.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Luar akan terus berusaha membawa pulang 1,679 orang rakyat Malaysia yang masih lagi terkandas di India dengan segera.

Pengerusi Pasukan Petugas koronavirus (Covid-19) Kementerian Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, setakat ini seramai 558 rakyat Malaysia telah selamat tiba di Malaysia dari Chennai dan Tiruchirappalli (Trichy) dengan tiga buah pesawat sewa khas Air Asia pagi tadi.

Menurutnya, seramai 186 orang rakyat Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) dari Chennai pada jam 5.50 pagi melalui penerbangan AK-013.

Katanya, seramai 372 orang lagi tiba dari Trichy melalui penerbangan AK-22 dan AK-28 masing-masing pada jam 5 pagi dan 6.40 pagi.

“Penerbangan ketiga-tiga pesawat Air Asia yang membawa pulang rakyat Malaysia itu dibiayai sepenuhnya oleh MIC.

“Wisma Putra merakamkan ucapan terima kasih atas bantuan, kerjasama dan keprihatinan MIC dalam membantu usaha kerajaan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di India.

“Setakat ini, MIC sudah membantu kerajaan membawa seramai 1,119 orang rakyat Malaysia yang terkandas di India termasuk tiga bayi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, semua rakyat Malaysia yang dibawa pulang itu perlu menjalani proses kuarantin secara sukarela selama 14 hari sebagaimana ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kamarudin berkata, seramai 109 rakyat Malaysia yang terkandas di Kemboja, dijangka tiba di tanah air jam 9 malam ini dengan pesawat MH763 milik Malaysia Airlines (MAS).

Menurutnya, enam orang warga Kemboja akan pulang dan dijangka tiba di Kemboja pada jam 5.30 petang ini dengan pesawat MH762 milik MAS.

“Saya ingin memaklumkan, hasil kerjasama erat Wisma Putra dengan Kerajaan Kemboja, rakyat Malaysia dan Kemboja yang terkandas di kedua-dua negara akan dapat pulang ke negara masing-masing hari ini.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia, saya berterima kasih kepada Kerajaan Kemboja kerana sentiasa memberi komitmen serta berganding bahu dengan Malaysia demi memastikan urusan kepulangan rakyat Malaysia dan Kemboja yang terkandas ini dipermudahkan," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada Syarikat T7 Global Berhad kerana sudi menanggung kos penerbangan pulang ini sebagai tanggungjawab korporat sosial kepada negara.