Pakar China akan datang ke Sabah, bantu tangani Covid-19

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

KOTA KINABALU - Beberapa pakar perubatan dari China akan datang ke Sabah dalam masa terdekat bagi membantu dalam usaha menangani penularan jangkitan koronavirus (Covid-19) negeri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Katanya, beliau telah berhubung dengan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai perkara itu semalam.

“Mereka (pakar dari China) ini mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam membendung penularan Covid-19. Mereka akan datang ke Sabah untuk membantu kita menangani wabak ini,” katanya dalam sidang media selepas mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengenal pasti penempatan pakar-pakar perubatan dari China itu antaranya di makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini bagi melatih doktor dan jururawat tempatan, sekali gus berkongsi pengalaman mereka memerangi wabak berkenaan.

“UMS mempunyai makmal selain ada seorang saintis bertugas di sana,” katanya dan menambah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi juga telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sementara itu, Mohd Shafie turut memaklumkan sebuah kapal dari China yang membawa bantuan bekalan penutup mulut dan hidung, cecair basmi kuman serta peralatan perlindungan akan tiba di Sabah, Sabtu ini.

Terdahulu, Mohd Shafie mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bernilai RM670 juta membabitkan tiga kategori iaitu bantuan kepada petugas barisan hadapan, bantuan kepada rakyat terjejas dan usaha memperkukuh perniagaan serta menambah baik kualiti infrastruktur asas di luar bandar. - Bernama

Artikel Berkaitan: