PRN Sabah: Mohamad Hasan sahkan tiada pertembungan kerusi BN-PH

PUTATAN - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengesahkan bahawa tiada pertembungan kerusi antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, walaupun masih terdapat perbincangan dalam BN sendiri berkenaan kerusi yang akan ditandingi, pertembungan pasti tidak akan berlaku antara dua parti yang menganggotai Kerajaan Madani itu.
"Jentera BN pula perlu bergerak terus sampai pengundian 29 Nov bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya nanti,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Minum Petang Bersama Penduduk Kampung Contoh, di sini hari ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17, manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov serta tarikh pengundian awal 25 Nov.
Sementara itu, Mohamad mencadangkan supaya Ketua UMNO Bahagian Putatan Jeffrey Nor Mohamed dipilih sebagai calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat pada PRN Sabah.
Mohamad berkata, dengan kesetiaan Jeffrey Nor dalam parti serta usahanya membina semula kekuatan UMNO di bahagian Putatan, beliau wajar diberi peluang menjadi calon.
"Kita menyokong Jeffrey Nor sebagai calon DUN Tanjung Keramat berikutan sokongan yang kuat daripada penduduk setempat, namun kita tunggu siapa yang akan diumumkan oleh pucuk pimpinan," katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengesahkan tiada pertembungan kerusi antara BN dengan Pakatan Harapan pada PRN Sabah ke-17
- Walaupun ada perbincangan dalam BN berkenaan kerusi yang akan ditandingi, pertembungan dengan PH tidak akan berlaku
- Jentera BN perlu bergerak terus hingga pengundian 29 Nov untuk memastikan kemenangan
- Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh pengundian pada 29 Nov, penamaan calon 15 Nov, dan pengundian awal 25 Nov
- Mohamad mencadangkan Jeffrey Nor Mohamed sebagai calon bagi kerusi DUN Tanjung Keramat, berikutan kesetiaan dan usahanya membina semula UMNO di Putatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
