Anak kariah boleh mohon bantuan jika terputus bekalan makanan-ZPP

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Anak kariah yang terputus bekalan makanan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuat kuasa kerajaan boleh mendapatkan bantuan kecemasan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amran Hazali berkata, ZPP akan menyalurkan bantuan itu kepada ahli kariah bagi membolehkan mereka mendapatkan bekalan makanan sewaktu tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Menurutnya, bantuan ini hanya akan disalurkan kepada masjid-masjid kariah berdasarkan maklumat yang diberikan oleh Pegawai Tadbir Agama di daerah masing-masing tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.

"Antara syarat yang ditetapkan ialah pemohon mestilah warga Malaysia, bermastautin di Pulau Pinang selain tidak mempunyai sebarang pendapatan serta simpanan dalam tempoh PKP.

"Bantuan ini hanya akan diberikan kepada mereka yang benar-benar terputus bekalan dan tidak menerima bantuan lain daripada ZPP," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Amran berkata, mereka yang ingin mendapatkan bantuan ini perlu mengemukakan permohonan kepada pihak kariah masjid sebelum proses selanjutnya.

Katanya, ZPP akan mempertimbangkan permohonan berkenaan dan wang bantuan akan disalurkan kepada masjid untuk membeli barangan keperluan asas sebelum diagihkan kepada anak kariah yang memerlukan.

Tambahnya, untuk bantuan khas ini ZPP memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi membantu mereka yang memerlukan dan setiap keluarga yang memohon akan mendapat bantuan barangan keperluan asas berjumlah RM100.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan ZPP memperuntukkan RM3 juta untuk membantu peniaga kecil dan penjaja dari kalangan asnaf dan miskin yang terjejas akibat PKP.

Selain itu, ZPP turut menyalurkan bantuan sebanyak RM306,500 kepada lebih 700 buah masjid dan surau di negeri ini bagi tujuan pembersihan dan nyahkuman untuk mencegah penularan koronavirus (Covid-19).