Dua warga Pakistan dicekup jual rokok seludup

A
A
A

GUA MUSANG – Dua peniaga warganegara Pakistan dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan penjualan rokok seludup dalam satu serbuan di sebuah premis di Felda Chiku Tiga di sini pada Sabtu.

Serbuan dilakukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi penugasan Op Taring Alpha kira-kira jam 4.15 petang.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan menemui sebanyak 4,000 batang rokok kretek yang disyaki diseludup masuk ke negara ini.

"Kesemua rokok itu dipercayai dijual untuk pasaran tempatan oleh dua lelaki terbabit," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Menurut beliau, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM7,920.

Ujarnya, kesemua barangan rampasan diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang untuk tindakan lanjut.

Nik Ros Azhan memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!