Beli MyKad palsu serendah RM100

JPN menggempur sebuah kilang di Pelabuhan Klang pada Selasa dan menahan 32 warga asing disyaki menggunakan MyKad palsu dan milik orang lain. Foto JPN
JPN menggempur sebuah kilang di Pelabuhan Klang pada Selasa dan menahan 32 warga asing disyaki menggunakan MyKad palsu dan milik orang lain. Foto JPN
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Kegiatan warga asing membeli kad pengenalan palsu dengan harga serendah RM100 bagi mendapatkan pekerjaan terbongkar selepas 32 individu ditahan menerusi serbuan di sebuah kilang di sini pada Selasa.

Serbuan Op Litar yang bermula jam 3 petang itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya bersama Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Selangor serta Jabatan Imigresen Selangor.

Kesemua warga Indonesia berusia antara 21 hingga 48 tahun yang ditahan merupakan pekerja kilang terbabit dan disyaki menggunakan kad pengenalan palsu serta kad pengenalan milik individu lain bagi tujuan mendapatkan pekerjaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Putrajaya, Salmi Kiprawi berkata, tangkapan berkenaan terdiri daripada 20 wanita dan 12 lelaki.

“MyKad itu dipercayai dibeli oleh warga asing terbabit dengan harga antara RM100 hingga RM500 daripada ejen pencari kerja.

“Kita telah menjalankan pemeriksaan secara teliti bagi membendung jenayah pemalsuan dokumen dan penipuan identiti,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, penyalahgunaan kad pengenalan merupakan kesalahan serius yang boleh menjejaskan kepentingan awam serta mengancam keselamatan negara.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Operasi ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan JPN dalam menangani isu penyalahgunaan kad pengenalan dalam kalangan warga asing.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri ini,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • PELABUHAN KLANG- Warga asing membeli kad pengenalan palsu dengan harga serendah RM100 untuk mendapatkan pekerjaan
  • Serbuan di sebuah kilang mendapati 32 individu warga Indonesia menggunakan kad pengenalan palsu
  • Tangkapan terdiri daripada 20 wanita dan 12 lelaki berusia antara 21 hingga 48 tahun
  • MyKad palsu dibeli daripada ejen pencari kerja dengan harga antara RM100 hingga RM500
  • Operasi ini sebahagian dari usaha JPN dalam menangani penyalahgunaan kad pengenalan oleh warga asing

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!