JPJ Selangor raih kutipan tertinggi hasil lelongan awam kenderaan sita

Azrin menunjukkan antara kenderaan yang dilelong dalam program yang diadakan pada Rabu.
Azrin menunjukkan antara kenderaan yang dilelong dalam program yang diadakan pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor merekodkan kutipan hasil tertinggi sebanyak RM277,030 menerusi Sesi Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 3/2025 yang diadakan di Ibu Pejabat JPJ Selangor di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, lelongan siri ketiga bagi tahun ini melibatkan 200 buah kenderaan pelbagai jenis yang disita di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan tidak dituntut oleh pemilik dalam tempoh yang ditetapkan.

“Daripada jumlah itu, 175 buah merupakan motosikal, diikuti lapan motokar serta kenderaan pelbagai guna, tujuh van, sembilan lori rigid dan sebuah penggerak utama.

“Kenderaan yang dilelong telah melalui proses pelucutan hak mengikut prosedur ditetapkan, termasuk pemakluman kepada pemilik, pengesahan pengarah negeri serta perintah mahkamah sebelum dijual kepada orang awam,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Selangor, Padang Jawa di sini pada Rabu.

Antara orang ramai yang menyertai siri lelongan awam yang diadakan pada Rabu.
Antara orang ramai yang menyertai siri lelongan awam yang diadakan pada Rabu.

Beliau berkata, jumlah kutipan kali ini mengatasi dua siri terdahulu apabila Siri 1/2025 mencatat RM181,100, manakala Siri 2/2025 berjumlah RM132,040.

“Siri ketiga menunjukkan peningkatan ketara dari segi sambutan dan hasil, menandakan keyakinan masyarakat terhadap sistem lelongan awam JPJ yang telus.

“Pelaksanaan lelongan awam bukan sekadar memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan kenderaan pada harga berpatutan, malah membantu jabatan menjana hasil serta mengurus aset sitaan secara berkesan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pemilik kenderaan yang telah disita supaya hadir ke pejabat JPJ berkaitan bagi membuat tuntutan dan penyelesaian sebelum kenderaan mereka dilelong.

“Jika tiada tuntutan dibuat dalam tempoh ditetapkan, kenderaan berkenaan akan melalui proses pelucutan hak dan dilelong kepada orang awam.

“Pengguna jalan raya diingatkan agar memastikan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta insurans kenderaan masing-masing sentiasa aktif bagi mengelakkan tindakan undang-undang,” katanya.

Menurutnya lagi, JPJ Selangor turut menggalakkan orang ramai menyalurkan aduan trafik secara terus melalui aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau e-mel aduantrafik@jpj.gov.my

Ringkasan AI

  • JPJ Selangor mencatat kutipan hasil tertinggi RM277,030 dari Lelongan Awam Kenderaan Sita Siri 3/2025
  • Lelongan melibatkan 200 buah kenderaan pelbagai jenis yang tidak dituntut pemiliknya
  • Kenderaan yang dilelong termasuk 175 motosikal, lapan motokar, tujuh van, sembilan lori dan sebuah penggerak utama
  • Jumlah kutipan Siri 3 mengatasi dua siri terdahulu dengan sambutan yang ketara dan peningkatan hasil
  • JPJ mengingatkan pemilik kenderaan disita untuk membuat tuntutan sebelum dilelong dan menekankan pentingnya keaktifan LMM, LKM dan insurans

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!