Kelantan bakal bentang RUU Enakmen Keluarga Islam baharu Selasa ini

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Enakmen Keluarga Islam yang baharu pada Selasa depan sempena sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) penggal ketiga 2025.
Speaker DUN, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kali terakhir rang undang-undang sedia ada dipinda pada tahun 2002 dan akan ditambah baik mengikut perkembangan semasa.
"Enakmen baharu ini secara dasarnya akan memfokuskan had hukuman yang perlu ditingkatkan berbanding sebelum ini.
"Ia juga akan disesuaikan dengan nilai wang semasa, selain beberapa kesalahan baharu dalam kekeluargaan Islam terutamanya membabitkan perkahwinan," katanya semasa sidang akhbar di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.
Menurut beliau, ia merupakan pembaharuan sepenuhnya daripada RUU Enakmen Keluarga Islam 2002 dan akan dibentangkan oleh Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud.
Dalam perkembangan sama ujarnya, sidang DUN kali ini akan diadakan selama lima hari, dimulakan dengan pembentangan belanjawan negeri oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud pada hari pertama persidangan.
Mohd Amar memberitahu, ia akan diikuti dengan perbahasan pada Ahad, penggulungan (Isnin) dan berakhir pada Rabu melibatkan persidangan biasa.
Ringkasan AI
- Kelantan bakal bentang RUU Enakmen Keluarga Islam baharu Selasa ini
- RUU ini bertujuan menggantikan rang undang-undang sedia ada yang kali terakhir dipinda pada tahun 2002
- Enakmen baharu akan memfokuskan peningkatan had hukuman dan disesuaikan dengan nilai wang semasa
- Membabitkan beberapa kesalahan baharu dalam kekeluargaan Islam khususnya berkaitan perkahwinan
- Sidang DUN bermula Khamis penggal ketiga 2025, dibentangkan oleh Exco Pembangunan Islam, Mohd Asri Mat Daud
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


