MFW diarah tarik balik promosi, pengiktirafan ‘Muslim Choice' — Menteri Agama

Mohd Na'im
Mohd Na'im
A
A
A

SHAH ALAM – Muslim Friendly Watch (MFW) diarahkan menarik semula segala bentuk promosi dan pengiktirafan ‘Muslim Choice’ yang boleh mengelirukan pengguna Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk segera mengeluarkan kenyataan amaran rasmi kepada pihak MFW berhubung arahan tersebut.

“Sekiranya pihak MFW gagal mematuhi amaran yang diberikan oleh JAKIM, setelah berbincang dengan YB Datuk Armizan Mohd Ali, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan atas kesalahan penyalahgunaan logo halal atau sebarang bentuk pengiktirafan yang mengelirukan,” tegas beliau menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Ahad, JAKIM menegaskan bahawa penggunaan istilah ‘Muslim Choice’ yang diperkenalkan oleh MFW bukanlah satu bentuk perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama.

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Sirajuddin Suhaimee berkata, penggunaan istilah tersebut boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.

Susulan itu, MFW memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya umat Islam, berhubung kekeliruan yang timbul melibatkan sistem dalaman organisasi dikenali sebagai Muslim Choice.

Presidennya, Noorman Kamsani menjelaskan bahawa Muslim Choice bukanlah badan pensijilan halal atau label pengiktirafan, sebaliknya hanyalah platform dalaman untuk menyimpan dan mengurus data ahli korporat serta ahli-ahli MFW.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • SHAH ALAM – Muslim Friendly Watch (MFW) diarahkan menarik semula segala bentuk promosi dan pengiktirafan 'Muslim Choice'
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengarahkan JAKIM memberi amaran kepada MFW
  • Jika MFW gagal mematuhi, KPDNHEP akan mengambil tindakan tegas di bawah Akta Perihal Dagangan atas kesalahan penyalahgunaan logo halal
  • Penggunaan istilah 'Muslim Choice' oleh MFW bukan perakuan atau penandaan halal yang diiktiraf oleh pihak berkuasa agama
  • MFW memohon maaf atas kekeliruan yang timbul dan menjelaskan bahawa Muslim Choice bukan badan pensijilan halal tetapi platform dalaman untuk ahli-ahli MFW

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!