Taufan Melissa ragut 30 nyawa, 1.5 juta terjejas di Jamaica - PBB

NEW YORK - Sekurang-kurangnya 30 orang dilaporkan terbunuh di Haiti manakala lebih 1.5 juta penduduk terjejas di Jamaica akibat Taufan Melissa, kata jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa, lapor Xinhua.
Infrastruktur dilapor mengalami kerosakan dengan lebih 130 jalan raya terhalang serta gangguan terhadap bekalan elektrik dan rangkaian komunikasi di Jamaica, menurut Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Farhan Haq dalam taklimat hariannya.
Perkhidmatan kesihatan juga berada dalam keadaan kritikal selepas beberapa hospital dan klinik rosak atau musnah, memaksa Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) menghantar pasukan perubatan kecemasan, katanya.
Haq berkata, Program Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan sehingga 360,000 penduduk di Jamaica mungkin memerlukan bantuan makanan.
Pasukan Penilaian dan Penyelaras Bencana PBB kini menyelaras ketibaan pasukan bantuan serta sokongan antarabangsa bagi membantu kerajaan Jamaica, katanya.
Di Haiti, PBB dan rakan kongsi meneruskan penilaian tahap kerosakan akibat taufan itu dan memperhebatkan usaha untuk menyalurkan bantuan kepada penduduk yang terjejas.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) melaporkan tanaman utama seperti kacang, jagung dan buah-buahan terjejas serta kerosakan terhadap infrastruktur perikanan, yang dijangka memburukkan lagi masalah kebuluran di negara itu.
Sementara itu, Pengarah Negara WFP di Cuba, Etienne Labande berkata, bahawa taufan itu turut menyebabkan banjir besar, gangguan bekalan elektrik serta kerosakan terhadap tanaman dan bangunan di timur Cuba.
Beliau menjelaskan bahawa tindak balas terhadap bencana kali ini diperkukuh menerusi pelaksanaan rangka kerja tindakan awal oleh kerajaan Cuba bersama peruntukan khas PBB yang diluluskan lebih awal, membolehkan agensi-agensi PBB menempatkan bekalan penting di kawasan berisiko sebelum taufan melanda. - Bernama
Ringkasan AI
- Taufan Melissa menyebabkan sekurang-kurangnya 30 orang terbunuh di Haiti dan lebih 1.5 juta penduduk terjejas di Jamaica
- Infrastruktur di Jamaica mengalami kerosakan termasuk lebih 130 jalan raya terhalang dan gangguan bekalan elektrik serta komunikasi
- Perkhidmatan kesihatan di Jamaica kritikal dengan beberapa hospital dan klinik rosak atau musnah
- Sehingga 360,000 penduduk di Jamaica mungkin memerlukan bantuan makanan mengikut anggaran Program Makanan Sedunia
- PBB dan rakan kongsi memperhebat usaha bantuan di Haiti, sementara FAO melaporkan tanaman dan infrastruktur perikanan terjejas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
