Dowman pemain termuda beraksi di pentas UCL

Pemain remaja Arsenal itu diturunkan di Prague

Dowman (kiri) menunjukkan kematangan ketika diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi menentang Slavia Prague. -Foto: Agensi
Dowman (kiri) menunjukkan kematangan ketika diturunkan sebagai pemain gantian pada aksi menentang Slavia Prague. -Foto: Agensi
A
A
A

PEMAIN remaja Arsenal, Max Dowman terus mencuri perhatian Eropah apabila penampilannya ketika membantu The Gunners menumpaskan Slavia Prague 3-0 menjadikannya pemain paling muda pernah beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL).

Pada usia 15 tahun 308 hari, penyerang muda kelahiran England itu memadam rekod Youssoufa Moukoko (Borussia Dortmund) yang beraksi ketika berumur 16 tahun 18 hari pada 2020.

Dowman dimasukkan pada minit ke-72 menggantikan Leandro Trossard dalam aksi fasa liga di Prague, perlawanan yang juga menyaksikan Arsenal merakam kemenangan ke-10 berturut-turut serta ‘clean sheet’ kelapan yang menyamai catatan rekod kelab pada tahun 1903.

Mikel Arteta mengulas kemampuan anak buahnya itu sebagai “berani mencabar pertahanan lawan dan bijak membaca detik hantaran” sejurus perlawanan tamat, malah beliau menganggap bakat ini memiliki masa depan besar di Emirates.

Detik ini hadir hanya enam hari selepas Dowman muncul pemain termuda Arsenal yang memulakan perlawanan dalam aksi Piala Piala Liga Inggeris (EFL) menewaskan Brighton.

Dia kini berada di kedudukan kedua dalam senarai pemain termuda pernah mewakili Arsenal serta penampilan EPL, rekod yang masih dipegang rakan sepasukan Ethan Nwaneri (15 tahun 181 hari).

Dowman sudah menjalani latihan bersama skuad utama Arsenal sejak usia 14 tahun termasuk menyertai kem pramusim di Dubai pada Januari 2024.

Malah musim lalu, sebahagian penyokong sudah mula mendesak namanya diberi ruang dalam kesebelasan ketika pilihan di bahagian serangan terhad akibat kecederaan tonggak utama.

Arsenal juga menstruktur kawal selia khas meliputi perkembangan akademik dan psikologi memandangkan pemain ini masih remaja tetapi kini berada dalam persekitaran pasukan senior.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Dowman mencipta rekod penjaring termuda Kejohanan Eropah B-17 bersama England serta menjaringkan gol untuk skuad England B-19 bulan lalu.

--------- INFO -------------

Lima paling muda tampil dalam Liga Juara-Juara:

1. Max Dowman (Arsenal) – 15 tahun 308 hari (4 November 2025)

2. Youssoufa Moukoko – 16 tahun 18 hari (8 Disember 2020)

3. Lamine Yamal (Barcelona) – 16 tahun 68 hari (19 September 2023)

4. Celestine Babayaro (Anderlecht) – 16 tahun 86 hari (23 November 1994)

5. Rayan Cherki (Lyon) – 16 tahun 102 hari (27 November 2019)

 

Ringkasan AI

  • Max Dowman menjadi pemain paling muda pernah beraksi dalam Liga Juara-Juara pada usia 15 tahun 308 hari
  • Memadam rekod Youssoufa Moukoko yang sebelum ini dipegang pada usia 16 tahun 18 hari
  • Dowman dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-72 dalam perlawanan lawan Slavia Prague
  • Mikel Arteta memuji kemampuan Dowman sebagai pemain yang berani dan bijak membaca permainan
  • Dowman juga mencipta rekod penjaring termuda Kejohanan Eropah B-17 bersama England

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!