Wartawan dan menteri: Bila emosi atasi rasional

HUBUNGAN wartawan dan menteri ibarat irama dan lagu, takkan sempurna kalau salah satu sumbang. Wartawan bertanya untuk rakyat, manakala menteri menjawab atas amanah.
Namun, apabila emosi lebih pantas daripada akal, sidang akhbar yang sepatutnya jadi ruang maklumat boleh bertukar jadi gelanggang salah faham.
Sidang akhbar pra-pelancaran program pencahayaan I Lite U baru-baru ini, membuktikan betapa nipisnya sempadan antara komunikasi dan konfrontasi. Soalan wartawan tentang penggunaan bahasa Inggeris dalam slogan sepatutnya mudah dijawab.
Tetapi, reaksi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming yang menyebut mahu ‘hubungi ketua editor’ menjadikan suasana tegang.
Inilah contoh klasik bagaimana sidang akhbar boleh ‘tergelincir’ apabila emosi mendahului profesionalisme.
Wartawan bukan datang mencari gaduh, mereka hadir untuk mendapatkan penjelasan. Kalau pun soalan agak tajam, itu sudah lumrah kerja. Ia bukan serangan tetapi usaha menjawab persoalan rakyat yang mahu memahami isu sebenar.
Seorang menteri berjiwa besar sepatutnya jawab dengan tenang, berfakta dan berhemah.
Kadang-kadang senyuman dan budi bahasa jauh lebih kuat daripada ugutan atau suara meninggi. Apatah lagi, dalam dunia digital sekarang, dua minit reaksi boleh jadi tajuk utama berhari-hari.
Memetik perkongsian peguam dan pemerhati sosial, Nor Zabetha Mohd Nor, beliau menegaskan ramai pemimpin tidak menggunakan sidang akhbar dengan betul.
Sepatutnya platform itu digunakan bagi menjernihkan keadaan tetapi akhirnya menambah kabut.
Beliau mengingatkan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pernah tersilap langkah apabila tidak bersedia dengan fakta hingga timbul lebih banyak spekulasi berbanding jawapan.
Pandangan itu ada asasnya. Sidang akhbar bukan gelanggang untuk ‘menang hujah’ tetapi ruang membina keyakinan. Menteri perlu bersedia dengan fakta, jangka soalan sukar dan kawal nada suara. Kalau soalan terlalu sensitif, elak dengan berhemah.
Di peringkat antarabangsa, wartawan juga pernah dihalang atau dipanggil kerana kerja liputan. Sebagai contoh, kes liputan Al-Jazeera dan tekanan terhadap wartawan.
Semua itu mengingatkan percampuran kuasa, undang-undang dan politik boleh menjejaskan amalan kewartawanan.
Kita faham tugas menteri bukan mudah. Tapi bila di hadapan kamera, setiap perkataan dan riak wajah membawa mesej besar.
Kepimpinan bukan diukur dengan kuatnya suara tapi keupayaan mengawal diri. Menteri yang tenang tampak yakin, sementara yang mudah ‘koyak’ nampak tak bersedia.
Wartawan juga ada batas. Mereka bukan tukang provokasi tapi penyampai maklumat. Namun, apabila disindir atau diugut, mesej yang sampai kepada rakyat ialah ‘soalan tidak dialu-alukan’.
Itu bahaya kerana ia boleh mematikan budaya semak dan imbang yakni asas utama dalam sistem demokrasi.
Apabila isu ini berlaku, timbul pelbagai andaian dan pertanyaan ramai, patutkah wartawan atau media memboikot apabila berlaku kejadian sebegini? Jawapan mudah, bergantung sejauh mana isu itu dibetulkan.
Jika seorang menteri cepat sedar, memohon maaf dan memperbaiki sikap, itu tanda kematangan jiwa sebenar seorang pemimpin.
Lagi pula, boikot bukan satu-satunya jalan penyelesaian. Seperti kata pepatah, tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.
Harus ada kebijaksanaan dan kesabaran agar maruah kedua-dua pihak terpelihara. Paling penting, kebenaran tetap terzahir.
Terbaharu dalam laporan Sinar Harian bertarikh 2 November, Kor Ming menerima dengan hati terbuka teguran berhubung insiden tersebut.
Beliau berkata, kekhilafan yang berlaku akan dijadikan pengajaran dan menegaskan komitmennya untuk terus menghormati kebebasan media di negara ini.
Teringat perkongsian seorang wartawan senior yang pernah berkata ‘suka atau benci, Tun Dr Mahathir Mohamad tetap ahli politik yang paling berani berdepan wartawan’.
Beliau tak pernah meninggi suara tapi jawapannya cukup padu dan ‘makan dalam’. Ini kerana di sebalik ketenangan itu, tersimpan keyakinan dan kebijaksanaan seorang negarawan.
*Zaiton Abdul Manaf ialah Editor Rencana SinarPlus Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
