'Graduan TVET juga mampu pimpin negara' - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan keyakinan bahawa suatu hari nanti, lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berpotensi untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Berucap pada majlis pelancaran Festival of Ideas di sini pada Selasa, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara menegaskan bahawa sudah tiba masanya masyarakat mengubah persepsi bahawa TVET merupakan pilihan kedua berbanding pendidikan akademik.
“Siapa kata lepasan TVET tidak boleh berjaya? Saya percaya graduan TVET mampu menjadi pemimpin negara, malah mungkin suatu hari nanti menjadi Perdana Menteri Malaysia,” ujarnya pada majlis yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Turut hadir, Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa kemahiran dan kecekapan dunia sebenar perlu dijadikan sebagai ‘mata wang baharu’ kemajuan negara yang lebih bernilai daripada sekadar kelulusan akademik semata-mata.
“Kita mahu rakyat memiliki kemahiran yang mengangkat martabat mereka di pentas global. Ini harapan kita,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha kerajaan memperkukuh pendidikan TVET bukan bertujuan untuk menenggelamkan sistem pendidikan sedia ada, sebaliknya melengkapinya dengan pendekatan pembelajaran yang lebih inklusif dan praktikal.
“Kita akan terus mempertahankan sistem pendidikan semasa, tetapi dalam masa sama kita mesti menerima realiti baharu,” katanya.
Sebagai langkah memperkukuh ekosistem pendidikan kemahiran, Ahmad Zahid turut mengumumkan penubuhan Suruhanjaya TVET Negara yang akan berperanan menyelaras lebih 1,398 institusi latihan di seluruh negara.
Jelasnya, penubuhan suruhanjaya tersebut penting bagi memastikan latihan kemahiran selaras dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi masa hadapan.
“Kita mahu TVET bukan sekadar laluan pekerjaan, tetapi menjadi budaya pembelajaran sepanjang hayat. Malaysia juga telah membuktikan keupayaan apabila cemerlang dalam Pertandingan WorldSkills ASEAN 2025,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi kisah kejayaan Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva, sebagai contoh pemimpin dunia yang berkelulusan TVET dan berjaya memimpin negaranya ke peringkat antarabangsa.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa Malaysia perlu membangunkan model kemajuan tersendiri yang berpaksikan nilai dan keinsanan.
“Kita tidak mahu meniru Silicon Valley, tetapi membina model Malaysia dengan teknologi berpaksikan amanah dan ihsan, serta inovasi yang disuburkan dengan nilai,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkeyakinan lepasan TVET boleh menjadi pemimpin negara termasuk Perdana Menteri
- Beliau menegaskan sudah tiba masanya masyarakat mengubah persepsi terhadap TVET sebagai pilihan kedua
- Ahmad Zahid menekankan kemahiran dan kecekapan dunia sebenar sebagai mata wang baharu kemajuan negara
- Beliau umumkan penubuhan Suruhanjaya TVET Negara untuk menyelaras lebih 1,398 institusi latihan selaras dengan keperluan industri
- Ahmad Zahid mahu Malaysia mengembangkan model kemajuan tersendiri yang berpaksikan nilai dan keinsanan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

