Bayi baru lahir ditinggalkan di bangunan sedang dibina

BACHOK – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui ditinggalkan di sebuah bangunan dalam pembinaan berhampiran sebuah sekolah menengah di Gunong di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamluddin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan itu daripada Klinik Kesihatan Mahligai pada sekitar jam 8.45 pagi.
Menurutnya, maklumat awal mendapati bayi berkenaan ditemui orang awam dalam keadaan tanpa pakaian dan hanya dibaluti sehelai kain berwarna hijau dalam rumah yang masih dalam pembinaan.
“Pemeriksaan awal doktor mendapati bayi lelaki itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian muka dan disyaki baru dilahirkan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, bayi itu kemudiannya dibawa ke Wad Nilam 2, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Mohamad Ismail berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab meninggalkan bayi tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana meninggalkan anak dengan niat untuk menyembunyikan kelahiran,” jelasnya.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Nurul Aida Jaffar di talian 014-2714926 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Bayi lelaki baru lahir ditemui ditinggalkan di bangunan dalam pembinaan berhampiran sekolah menengah di Gunong, Bachok
- Ditemui orang awam, tanpa pakaian dan hanya dibaluti kain berwarna hijau
- Bayi tidak mengalami kecederaan fizikal tetapi ada kesan kemerahan pada muka, disyaki baru dilahirkan
- Bayi dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk pemeriksaan lanjut, berada dalam keadaan stabil
- Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, polis mencari individu yang bertanggungjawab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

