Dua dicekup menyamar persatuan bekas polis minta sumbangan

HULU SELANGOR – Dua lelaki menyamar sebagai wakil persatuan bekas polis untuk meminta sumbangan ditahan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, satu laporan diterima pihaknya jam 5.54 petang daripada seorang peniaga besi buruk selepas didatangi dua individu menyamar sebagai wakil persatuan bekas polis dengan meminta sumbangan RM1,000.
Menurutnya, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor kemudiannya tiba lalu menahan dua lelaki itu.
"Polis merampas kereta jenis Perodua Myvi, serangkai kunci kereta, enam buku resit, 15 dokumen Persatuan Kebajikan Harapan Insan Miskin, sembilan fail, satu beg, dua utas rantai perak serta wang tunai RM550.
"Semakan mendapati kedua-dua suspek berusia 23 dan 37 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu bagi permohonan reman.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947.
"Dengan tertangkapnya suspek, polis yakin berjaya menyelesaikan kes ini, sekali gus meningkatkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis.
Ringkasan AI
- Dua lelaki menyamar sebagai wakil persatuan bekas polis untuk meminta sumbangan ditahan
- Laporan diterima daripada peniaga besi buruk selepas diminta sumbangan RM1,000
- Polis merampas Perodua Myvi, kunci kereta, buku resit, dokumen persatuan dan wang tunai
- Suspek berusia 23 dan 37 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau
- Kes disiasat mengikut Seksyen 3(3) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
