Produk kesihatan tidak berdaftar bernilai RM1.5 juta dirampas

IPOH – Jabatan Kesihatan Negeri Perak (JKNP) merampas hampir 300 jenis produk kesihatan tidak berdaftar termasuk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai kira-kira RM1.5 juta dalam operasi penguatkuasaan di tiga lokasi sekitar Ipoh pada 23 Oktober lalu.
Serbuan yang dijalankan oleh Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Perak di Bercham, Meru Raya dan Jelapang itu dibuat hasil aduan orang awam dan pemantauan pihak berkuasa terhadap aktiviti pengilangan serta penjualan produk tidak sah di pasaran.
JKNP memaklumkan, rampasan melibatkan pelbagai ubat tradisional, produk ubat-ubatan berjenama luar negara yang tidak berdaftar serta kosmetik tanpa notifikasi selain tiga peranti digital yang digunakan bagi tujuan jualan dan promosi.
"Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi menyalahi Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
"Kesalahan itu boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952 yang memperuntukkan denda maksimum RM25,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama manakala bagi kesalahan berikutnya denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook pada Selasa.
Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM50,000 bagi kesalahan pertama dan RM100,000 bagi kesalahan seterusnya di bawah Seksyen 12(2) akta sama.
JKNP menjelaskan, tindakan penguatkuasaan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya membanteras penjualan dan pengedaran produk kesihatan tidak sah di pasaran tempatan.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut melaksanakan kempen ‘Tolak Ubat Tidak Sah’ (TOBaTS) bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang risiko penggunaan produk kesihatan yang menyalahi undang-undang.
“Peniaga dan pengedar diingatkan supaya hanya mengendalikan produk kesihatan yang berdaftar dengan KKM dan mempunyai nombor pendaftaran MAL serta pelekat keselamatan hologram,” katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan menyemak status pendaftaran produk melalui laman sesawang rasmi www.npra.gov.my di ruangan Product Search sebelum membuat sebarang pembelian.
Sementara itu, JKNP menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat atau aduan mengenai penjualan produk kesihatan meragukan melalui Portal Aduan SisPAA di moh.spab.gov.my, talian hotline 03-7841 3200, atau di mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berdekatan.
Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Negeri Perak merampas hampir 300 jenis produk kesihatan tidak berdaftar bernilai kira-kira RM1.5 juta
- Serbuan dilakukan di tiga lokasi sekitar Ipoh atas aduan orang awam
- Produk yang dirampas termasuk ubat tradisional, produk ubat-ubatan berjenama luar negara dan kosmetik tanpa notifikasi
- Penjualan produk tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi menyalahi undang-undang dengan hukuman denda dan penjara
- Kempen 'Tolak Ubat Tidak Sah' dilaksanakan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang risiko produk kesihatan menyalahi undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

