Lima warga asing sesak nafas dalam kebakaran gudang kain


SUNGAI BULOH - Lima warga asing dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh selepas mengalami sesak nafas akibat terhidu asap tebal dalam kebakaran membabitkan empat lot gudang penyimpanan kain di Kampung Desa Aman, di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu, kesemua mangsa dilaporkan mengalami kesukaran bernafas sebaik asap tebal menyelubungi kawasan terbakar.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, semua mereka diberikan rawatan awal oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
"Semua mereka kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Sungai Buloh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ahmad Mukhlis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.50 pagi sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh tiba di lokasi 13 minit kemudian.
"Sebaik sahaja pasukan bomba tiba, kebakaran didapati melibatkan empat lot gudang kelas C bagi penyimpanan kain dengan keluasan 75x25 kaki persegi setiap satu.
"Tiga lot terbakar 90 peratus manakala satu lagi terbakar 10 peratus," jelas beliau.
Ahmad Mukhlis berkata, operasi pemadaman turut disertai 33 anggota dari BBP Sungai Buloh dengan bantuan BBP Damansara, Bukit Jelutong dan Selayang menggunakan empat jentera Fire Rescue Tender (FRT), tiga tangki air dan sebuah kenderaan EMRS.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Lima warga asing dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh kerana sesak nafas selepas terhidu asap kebakaran gudang kain
- Kebakaran berlaku di Kampung Desa Aman menyebabkan asap tebal menyelubungi kawasan
- Pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan memberi rawatan awal kepada mangsa
- Empat lot gudang terlibat dalam kebakaran dengan tiga lot terbakar 90 peratus dan satu lagi 10 peratus
- Kebakaran berjaya dikawal tanpa ada kemalangan jiwa, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

