Suspek kes tembak di Sungai Golok mungkin lari ke Malaysia - Polis

KOTA BHARU – Polis tidak menolak kemungkinan bekas pemain Kelantan FA tahun 2019 yang disyaki menembak mati rakyat Malaysia, Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, di Sungai Golok, Thailand, mungkin telah melarikan diri ke Malaysia.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan perkara itu dan memaklumkan pihaknya telah memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi membantu siasatan dan memburu suspek.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek mungkin melarikan diri ke negara ini,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Menurut Mohd Yusoff, setakat ini polis Kelantan masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Thailand berhubung kejadian tembakan berkenaan.
Difahamkan, suspek yang kini diburu merupakan bekas pemain bola sepak profesional yang pernah beraksi di posisi penjaga gol bersama pasukan Kelantan FA pada musim 2019.
Sebelum menyertai Kelantan FA, suspek turut pernah bermain di Liga Thailand bersama kelab Yala United FC dan PT Prachuap FC.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Mohd Fuad Fahmie, rakyat Malaysia berusia 33 tahun, meninggal dunia pada malam Sabtu selepas parah ditembak di rumahnya di Kampung Bering, Sungai Golok.
Mangsa yang berasal dari Kampung Kepas Apam, Pasir Mas, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 9 malam ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok.
Ringkasan AI
- Bekas pemain Kelantan FA tahun 2019 disahkan sebagai salah seorang suspek dalam kes tembakan di Thailand
- Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, meninggal dunia akibat kejadian tembakan di Kampung Bering, Sungai Golok, Thailand
- Polis Kelantan memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand untuk membantu memburu suspek
- Suspek pernah bermain bersama Kelantan FA dan mempunyai pengalaman di Liga Thailand
- Mangsa meninggal dunia pada malam Sabtu selepas ditembak lapan kali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

