Kanak-kanak 11 tahun solat Subuh berjemaah 40 hari dapat basikal

Razali (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada Ahmad Ammar Nawfal Mohd Afiq yang berjaya solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut.
Razali (dua, kanan) menyampaikan hadiah kepada Ahmad Ammar Nawfal Mohd Afiq yang berjaya solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun menerima hadiah sebuah basikal selepas menyahut cabaran menunaikan solat Subuh berjemaah selama 40 hari berturut-turut di sebuah masjid di sini.

Usaha gigih Ahmad Ammar Nawfal Mohd Afiq melayakkannya dinobatkan sebagai pemenang utama Program King of Subuh Warrior 3.0 yang berlangsung di Masjid Padang Kubu, Kijal, baru-baru ini.

Program anjuran komuniti masjid dengan sokongan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal itu berjaya menarik minat kanak-kanak dan remaja untuk mencintai rumah ALLAH melalui amalan solat Subuh berjemaah selama 40 hari.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, berkata, program tersebut merupakan penganjuran kali ketiga selepas diadakan di Masjid Titian Berayun dan Masjid Batu 9, serta akan diperluaskan ke beberapa masjid lain di kawasan berkenaan.

"Program ini penting bagi menyuburkan semangat cintakan masjid dalam kalangan generasi muda serta memupuk disiplin, nilai tanggungjawab terhadap agama dan cintakan masjid.

"Pemenang utama berjaya hadir selama 40 hari tanpa gagal menerima hadiah sebuah basikal dan sijil penyertaan," katanya.

Semua peserta merakam gambar pada Majlis penutup Program King of Subuh Warrior 3.0 yang berlangsung di Masjid Padang Kubu, Kijal, baru-baru ini.
Semua peserta merakam gambar pada Majlis penutup Program King of Subuh Warrior 3.0 yang berlangsung di Masjid Padang Kubu, Kijal, baru-baru ini.

Menurut Razali, program berkenaan berlangsung dari 22 Ogos hingga 30 September lalu dan disertai peserta berusia 17 tahun ke bawah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kehadiran peserta ke masjid dicatat melalui sistem kupon khas pada setiap hari.

"Walaupun program ini telah selesai, kita harap semangat yang ada dalam diri kanak-kanak ini akan sentiasa berterusan untuk menjadikan solat Subuh berjemaah di masjid sebagai amalan," ujarnya.

Bapa kanak-kanak tersebut, Mohd Afiq Azmi, mengakui bukan mudah untuk melatih anak bangun seawal Subuh, namun usaha itu akhirnya menjadi rutin harian keluarga mereka.

"Hari pertama dan kedua memang susah sikit nak kejut, tapi lepas tu dia sendiri bangun awal dan semangat nak ke masjid," katanya.

Sementara itu, Ahmad Ammar berkata, kejayaan itu menjadi pembakar semangat untuk terus istiqamah menunaikan solat berjemaah.

"Saya seronok dan semangat nak ke masjid sebab dapat jumpa kawan-kawan dan menang hadiah basikal. Terima kasih kepada ibu bapa saya yang kejutkan saya setiap pagi," ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Seorang kanak-kanak 11 tahun menerima basikal selepas menyahut cabaran solat Subuh berjemaah 40 hari berturut-turut di masjid
  • Program King of Subuh Warrior 3.0 anjuran komuniti masjid dan Pusat Khidmat DUN Kijal tarik minat kanak-kanak mencintai masjid
  • ADUN Kijal, Datuk Razali Idris, kata program ini bertujuan suburkan cinta masjid dan disiplin dalam kalangan generasi muda
  • Pemenang hadir tanpa gagal selama 40 hari dan dianugerahkan basikal serta sijil penyertaan
  • Program ini diharapkan akan mendorong amalan solat Subuh berjemaah di masjid sebagai rutin harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!