GM Klang lanjut operasi hingga 10 malam

Abd Hamid (tengah) bersama-sama Seng Kok (kanan) dan Yee Ling (kiri) memecahkan belon sebagai gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Waktu Operasi Baharu GM Klang dan Ceritera Selangor, pada Sabtu.
Abd Hamid (tengah) bersama-sama Seng Kok (kanan) dan Yee Ling (kiri) memecahkan belon sebagai gimik perasmian pada Majlis Pelancaran Waktu Operasi Baharu GM Klang dan Ceritera Selangor, pada Sabtu.
A
A
A

KLANG – Pusat borong terbesar di Malaysia, GM Klang melangkah ke fasa baharu apabila melanjutkan waktu operasinya dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari sebagai usaha menyesuaikan diri dengan perubahan tabiat pembelian dan gaya hidup masyarakat.

Pengarah Urusan GM Klang, Datuk Lim Seng Kok berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya mendapati ramai pelanggan tidak mempunyai masa mencukupi untuk membeli-belah selepas waktu bekerja.

"Pada hari biasa, kebanyakan pelanggan datang sekitar jam 5.30 petang dan mereka hanya sempat membeli-belah selama kira-kira sejam sebelum pusat ini ditutup. 

"Pemborong makanan dan minuman juga mendapati masa mereka terhad untuk beroperasi pada waktu malam," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Waktu Operasi Baharu GM Klang dan Ceritera Selangor di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Abd Hamid Hussain dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tourism Selangor, Chua Yee Ling.

Menurut beliau, perubahan waktu operasi itu adalah langkah strategik bagi menarik semula kehadiran pelanggan yang sebelum ini berkurangan akibat peningkatan trend pembelian dalam talian sejak tempoh pandemik Covid-19.

"Selepas Covid-19, cara pelanggan membeli-belah banyak berubah kerana kebanyakan mereka membeli secara dalam talian menyebabkan jumlah pengunjung ke GM Klang menurun.

"Dengan waktu operasi lebih panjang, kita harap lebih ramai pelanggan sekitar Klang, Shah Alam dan kawasan berdekatan dapat datang selepas waktu kerja atau selepas makan malam," jelas beliau.

Lim Seng berkata, pihaknya juga menyasarkan pembeli yang datang dari luar daerah apabila projek Transit Aliran Ringan (LRT3) siap kelak kerana ia akan memudahkan pengunjung dari kawasan luar bandar atau negeri lain ke GM Klang dengan kos perjalanan lebih rendah.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, Seng Kok menjelaskan, GM Klang kini bergerak ke arah menjadi hab borong dan gaya hidup bersepadu, bukan sekadar pusat perniagaan.

"Kita lihat ramai yang datang bersama keluarga, jadi kami akan tambah aktiviti berasaskan komuniti dan keluarga seperti kecergasan, hiburan, permainan snuker dan grocer (pasar raya) dalam kawasan pusat borong ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, GM Klang akan memperkenalkan ruang kerja bersama bagi menggalakkan golongan muda dan graduan memulakan perniagaan mereka di sini.

Ditanya mengenai kemungkinan GM Klang beroperasi 24 jam seperti pusat borong antarabangsa di negara lain, Seng Kok menjelaskan perkara itu perlu dilihat secara berperingkat.

"Sekarang kita tambah (waktu operasi) tiga jam dulu setiap hari dan sudah tentu ia melibatkan kos tambahan seperti penyaman udara, lampu, keselamatan dan pembersihan. 

"Tapi dalam jangka masa panjang, kami mungkin panjangkan lagi waktu operasi terutama musim perayaan atau Ramadan," tambah beliau.

Sementara itu, Eksekutif Komunikasi Jenama GM Klang, Nurul Syazana Johar berkata, pengunjung pusat membeli-belah itu kini berpeluang membawa pulang hadiah lumayan termasuk motosikal, televisyen dan mesin basuh menerusi kempen ‘Lucky Night Draw’ yang diperkenalkan sempena pelancaran waktu operasi baharu pusat borong itu.

Nurul Syazana (tengah) menunjukkan kempen ‘Lucky Night Draw’ yang diperkenalkan sempena pelancaran waktu operasi baharu pusat borong berkenaan.
Nurul Syazana (tengah) menunjukkan kempen ‘Lucky Night Draw’ yang diperkenalkan sempena pelancaran waktu operasi baharu pusat borong berkenaan.

Menurut beliau, kempen itu dijalankan bagi menghargai pelanggan yang berbelanja di GM Klang pada waktu malam.

"Sempena pelancaran waktu operasi baharu ini, kami rangka pelbagai kempen menarik untuk pengunjung.

"Pengunjung hanya perlu berbelanja sekurang-kurangnya RM100 ke atas antara jam 7 hingga 10 malam untuk melayakkan diri menyertai cabutan bertuah ini," tambah beliau.

Beliau memberitahu, nama pemenang akan diumumkan menerusi laman media sosial rasmi GM Klang, selain pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai tawaran menarik sepanjang kempen berlangsung.

Nurul Syazana berkata, cabutan akan diadakan setiap bulan dengan jumlah keseluruhan hadiah bernilai RM10,000 ditawarkan sepanjang tempoh kempen yang berlangsung hingga Januari 2026.

"Setiap RM100 pembelian layak untuk satu penyertaan, jadi lebih banyak resit pembelian, lebih tinggi peluang untuk menang,” jelasnya.

Ringkasan AI

  • GM Klang melanjutkan waktu operasinya dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari untuk menyesuaikan diri dengan perubahan tabiat pembelian masyarakat Keputusan melanjutkan waktu operasi dibuat selepas mendapati ramai pelanggan tidak sempat membeli-belah selepas waktu bekerja Perubahan waktu operasi ini bertujuan menarik semula kehadiran pelanggan yang berkurangan akibat peningkatan trend pembelian dalam talian GM Klang menyasarkan pembeli dari luar daerah dengan projek LRT3 yang akan memudahkan pengunjung dari kawasan luar bandar atau negeri lain GM Klang memperkenalkan kempen 'Lucky Night Draw' dengan hadiah termasuk motosikal, televisyen dan mesin basuh untuk pelanggan yang berbelanja pada waktu malam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!