Usaha Israel robohkan Masjid Al-Aqsa dalam tiga fasa

Pemandangan dari udara menunjukkan Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu (Dome of the Rock) yang terletak di pekarangan kompleks suci al-Haram al-Sharif di Baitulmaqdis. Foto AFP
Pemandangan dari udara menunjukkan Masjid Al-Aqsa dan Kubah Batu (Dome of the Rock) yang terletak di pekarangan kompleks suci al-Haram al-Sharif di Baitulmaqdis. Foto AFP
A
A
A

GAZA - Seorang penyelidik Palestin yang pakar dalam hal ehwal Al-Quds, Ziad Bahis, memberi amaran bahawa kerja-kerja penggalian yang sedang dijalankan oleh rejim Zionis di kawasan Masjid Al-Aqsa, kini menuju rancangan lebih besar untuk merosakkan Al-Aqsa sepenuhnya dan membina kuil palsu di atas runtuhannya.

Dalam wawancara bersama Agensi Berita Palestin Shehab pada Selasa, Bahis menjelaskan bahawa pendudukan Israel menganggap Masjid Al-Aqsa sebagai pintu penentu dalam perjuangan menentang Palestin.

"Kita perlu memahami satu perkara bahawa fahaman Zionisme agama melihat penguasaan mutlak ke atas Al-Aqsa sebagai lambang bahawa Baitulmaqdis telah menjadi 'Yerushalayim' dan Palestin telah sepenuhnya berubah menjadi 'Israel' selama-lamanya," katanya.

Menurut Bahis, rancangan pengyahudian terhadap Al-Aqsa sedang dilaksanakan melalui tiga fasa utama iaitu menerusi penggalian bawah tanah yang telah dilakukan secara tersusun selama lebih 180 tahun.

"Kini, rejim Zionis berusaha menukar kawasan sekitar Al-Aqsa kepada rangkaian terowong yang menggambarkan naratif Bible sambil menghapuskan identiti Islam dan sejarah sebenar tapak suci tersebut.

"Fasa kedua ialah penguasaan di permukaan, di mana rejim Israel cuba melaksanakan pembahagian masa dan ruang di dalam kawasan Al-Aqsa dengan mengehadkan waktu tertentu untuk pencerobohan pelampau Yahudi serta melarang umat Islam memasuki masjid ketika perayaan Yahudi," tambahnya.

Bahis mendedahkan bahawa sebahagian laman timur Al-Aqsa telah mula dijadikan 'sinagog tidak rasmi' di mana doa dan bacaan Taurat diadakan setiap hari.

Bahis turut menegaskan bahawa bahagian barat daya Masjid Al-Aqsa kini paling berisiko runtuh, akibat penggalian melampau oleh Israel yang mengorek tanah di sekeliling dan melemahkan asas binaan purba sejak zaman Umawiyyah dan Rom.

“Hanya gegaran kecil atau hujan lebat sudah cukup untuk menyebabkan bahagian itu roboh,” katanya memberi amaran.

Artikel Berkaitan:

Fasa ketiga, menurut beliau, ialah usaha mengepung Al-Aqsa dengan mercu tanda Yahudi baharu, seperti Muzium Api Taurat dan Institut Kuil, bagi memperkukuh imej bahawa masjid suci itu terletak di tengah-tengah 'bandar suci Yahudi'.

Bahis menegaskan, semua tindakan ini bertujuan menghapuskan identiti Islam Masjid Al-Aqsa sepenuhnya dan menukarnya kepada 'kuil berasaskan Taurat'.

Katanya, bagi gerakan Zionisme agama, kemenangan sebenar hanya tercapai apabila mereka menguasai Al-Aqsa, dan daripada situ pengaruhnya akan meluas ke Tebing Barat, Gaza serta seluruh tanah Palestin.

Beliau turut menjelaskan bahawa rejim Israel kini telah memasuki fasa pembinaan fizikal Kuil, selepas berjaya memasukkan sebahagian besar ritual Taurat ke dalam kawasan Al-Aqsa.

Kini, hanya tinggal membawa masuk peralatan keagamaan seperti gulungan Taurat, almari simpanan dan peralatan korban bagi melengkapkan fasa terakhir rancangan tersebut.

Bahis menutup kenyataannya dengan amaran keras bahawa konfrontasi besar seterusnya akan tercetus melalui Masjid Al-Aqsa, sambil mengingatkan bahawa sejarah membuktikan setiap serangan ke atas Al-Aqsa sentiasa menjadi pencetus kebangkitan dan revolusi rakyat Palestin.-Agensi

Ringkasan AI

  • Penyelidik Palestin memberi amaran kerja penggalian oleh rejim Zionis di Masjid Al-Aqsa menuju rancangan merosakkan dan membina kuil palsu
  • Masjid Al-Aqsa dianggap titik penentu dalam perjuangan menentang Palestin oleh pendudukan Israel
  • Rancangan pengyahudian Al-Aqsa dilaksanakan melalui tiga fasa, termasuk penggalian bawah tanah, penguasaan permukaan dan mengepung dengan mercu tanda Yahudi
  • Bahagian barat daya Masjid Al-Aqsa berisiko runtuh akibat penggalian melampau yang mengorek tanah di sekeliling dan melemahkan asas binaan
  • Tindakan rejim Israel bertujuan menghapuskan identiti Islam Masjid Al-Aqsa sepenuhnya dan menukarkan kepada kuil berasaskan Taurat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!